Lelaki sebar video beli beras plastik mohon maaf, mengaku buat dakwaan palsu

Dia mengakui bahawa dakwaan itu tidak berasas dan jenama beras yang dituduh sebenarnya adalah beras tulen

9:39 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Individu yang menyebarkan video mendakwa beras yang dibelinya di salah sebuah premis di daerah Sandakan adalah beras plastik mengaku membuat dakwaan palsu mengenainya.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Menurut beliau, lelaki tersebut hadir ke pejabat Sazarice Sdn Bhd, syarikat pemborong beras yang didakwa menjual beras plastik dan mengakui tuduhannya itu tidak benar.

“Susulan siasatan dakwaan beras plastik dilakukan semalam, saya difahamkan seorang individu dipercayai perakam video yang tular itu menampilkan diri ke syarikat terbabit di Sandakan, pagi tadi.

“Dia mengakui bahawa dakwaan itu tidak berasas dan jenama beras yang dituduh sebenarnya adalah beras tulen,” katanya.

Pada masa sama, Foong Hin berkata, individu terbabit juga meminta maaf dia atas perbuatannya itu.

Katanya, syarikat berkenaan menerima permohonan maaf individu tersebut dan memberi amaran supaya tidak mengulangi perbuatan berkenaan.

“Memandangkan individu tersebut mengakui kesilapan dilakukan, saya nasihatkan kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan dakwaan tidak berasas yang menimbulkan kegusaran orang awam.

“Saya faham, tiada manusia yang sempurna. Yang penting, ambil tanggungjawab atas perbuatan sendiri, mohon maaf secara ikhlas sekiranya berlaku kesilapan dan perbetulkan kesalahan diri sebaik-baiknya,” katanya.

Semalam, tular sebuah video berdurasi satu minit 20 saat tular yang memperlihatkan seorang lelaki mendakwa beras yang dijual di salah sebuah premis di daerah Sandakan adalah beras plastik.

Susulan itu, Sazarice Sdn Bhd menerusi satu kenyataan menafikan dakwaan beras keluaran syarikat itu adalah beras plastik seperti yang tular dalam video berkenaan.

Katanya, mereka sentiasa memastikan kualiti beras yang terbaik untuk semua produk jenama Sazarice dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuba memburukkan nama syarikat itu. – 10 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Related