Lebih RM17 bilion diperuntukkan kerajaan bayar pinjaman 1MDB tahun lalu

Dua bon 1MDB iaitu 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) matang pada 2022 dengan prinsipal kedua-dua bon itu berjumlah AS$3.3 bilion atau RM15.524 bilion

2:38 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan bagi pembayaran balik pinjaman syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM17.064 bilion pada 2022 berbanding RM1.699 bilion pada 2021.

Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Vivian Wong Shir Yee berkata, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang diterima jawatankuasa itu, dua bon 1MDB iaitu 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) telah matang pada 2022 dengan prinsipal kedua-dua bon ini berjumlah AS$3.3 bilion atau RM15.524 bilion.

“Sehingga akhir 2022, jaminan pinjaman syarikat 1MDB adalah berjumlah RM18.170 bilion iaitu terdiri daripada bon berjumlah AS$3 bilion atau RM13.170 bilion yang perlu dilunaskan pada 2023 dan bon berjumlah RM5 bilion yang akan matang pada 2039,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil laporan tersebut juga mendapati subsidi yang ditanggung kerajaan pada 2022 terus naik mendadak apabila sejumlah RM55.443 bilion dibelanjakan berbanding RM13.134 bilion pada 2021.

“Peningkatan sebanyak RM42.309 bilion atau 322.1 peratus dan antara perbelanjaan subsidi yang tertinggi ialah subsidi barangan produk petroleum yang berjumlah RM45.184 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, Petronas terus menjadi penyumbang terbesar dividen kepada kerajaan berjumlah RM50 bilion pada 2022 berbanding RM25 bilon pada 2021.

“Jumlah keseluruhan dividen pelaburan yang diterima daripada 16 syarikat berkaitan kerajaan dan dua badan berkanun adalah berjumlah RM55.815 bilion,” katanya.

Sementara itu, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, LKAN turut mengesyorkan tiga perkara iaitu mempertingkatkan disiplin perbelanjaan mengurus, memperkasakan usaha penjanaan hasil dan pemantauan terhadap komitmen bayaran balik pinjaman supaya jumlah hutang negara dapat terus dikurangkan pada masa hadapan.

“Langkah ini penting supaya lebihan hasil dapat dipertingkatkan bagi membiayai perbelanjaan pembangunan dan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman baharu.

“Selain itu, ia bagi memastikan dana Kumpulan Wang Pembangunan dibelanjakan bagi projek fizikal dan bukan fizikal yang termasuk di bawah Rancangan Pembangunan Malaysia (RMK) lima tahun,” katanya.

Ujarnya lagi, perbelanjaan yang bertujuan sebagai penyaluran kepada syarikat bagi tujuan bayaran balik pinjaman juga perlu dipantau supaya tidak terus meningkat pada masa hadapan.

“Ia bagi memastikan setiap pelaporan dan perubahan dalam item penyata kewangan adalah selaras dengan Piawaian Perakaunan Kerajaan dan peraturan kewangan yang berkuat kuasa,” katanya. – 10 Oktober, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Islam larang tegur raja, pemerintah tanpa adab, taat setia bukan perkara main-main: Mimbar

Taat setia kepada raja, pemerintah, pemimpin dan ketua harus ditunjukkan sebaik mungkin, malah bukan perkara main-main yang boleh dipandang sebelah mata.

The silent punch heard around the country – Terence Fernandez

The assault of deaf e-hailing driver raises the question if we are a nation divided by class

Related