Roger Ng: Siasatan menjurus pada penjualan nota sekuriti dan bon 1MDB

Maklumat mengenai modus operandi juga penting termasuk mengetahui sama ada terdapat suspek lain turut terbabit

12:54 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Siasatan terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng akan menjurus kepada modus operandi penjualan nota sekuriti dan bon-bon milik anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, selain mendapatkan kembali aset milik rakyat dan negara, maklumat mengenai modus operandi itu penting termasuk mengetahui sama ada terdapat suspek lain.

“Kita juga hendak lihat modus operandi dia, macam mana bon-bon ini dijual, berapa komisen diraih, itu modus operandi yang perlu kita ketahui daripada Roger Ng sendiri.

“Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Wang Haram (AMLA) 2001,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, tidak ada tempoh masa ditetapkan dalam menjalankan siasatan terhadap Roger yang ditahan semalam sehingga pihak polis berpuas hati dengan hasil siasatan.

“Kita harapkan kerjasama yang baik daripada Roger bagi mendapatkan semula aset yang mana kita ketahui banyak lagi aset lain yang perlu dibuat recovery, aset fizikal dan bukan fizikal seperti bangunan, rumah atau kenderaan yang dia beli dan juga akaun-akaun yang dimiliki.

“Kita juga ambil maklum dengan maklumat yang didedahkan semasa keterangannya di mahkamah di Amerika Syarikat, ini untuk kepentingan siasatan kita juga,” katanya.

Selain itu beliau berkata, pihaknya tidak akan mendedahkan di mana lokasi Roger ditahan atas faktor keselamatan.

“Untuk kepentingan siasatan dan faktor keselamatan, kita tak dedahkan dia di mana,” katanya.

Tambah beliau, menerusi siasatan terhadap Roger, polis akan cuba mendapatkan maklumat mengenai keberadaan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

“Pasal itu kita hendak dia (Roger), kalau kita tak percaya kepada dia, kita tiada keperluan hendak ambil dan keperluan ini bukan sahaja di pihak kita, tetapi mungkin juga ada keperluan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC),” katanya.

Pada 19 Disember 2018, Roger mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion dengan menggugurkan fakta material dan membuat kenyataan palsu.

Beliau didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat 1MDB, Tingkat 8, Menara IMC, Jalan Sultan Ismail di sini, antara 19 Mac 2012 hingga 11 November 2013.

Pada 4 September tahun lalu, pertuduhan terhadap Goldman Sachs International Ltd dan dua entitinya di Asia iaitu Goldman Sachs (Asia) LLC dan Goldman Sachs (Singapura) digugurkan selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan, membenarkan permohonan pendakwaan menarik balik pertuduhan berhubung penjualan bon 1MDB bernilai AS$$6.5 bilion.

Terdahulu, media melaporkan Roger yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di New York, Amerika Syarikat (AS) kerana membantu menggelapkan berbilion dolar dana 1MDB, diserahkan kepada Malaysia untuk berdepan pertuduhan di negara ini. – 10 Oktober, 2023.

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Related