Faktor pengangkutan mungkin punca harga beras mahal di penempatan Orang Asli: Jakoa

Susulan aduan itu, pejabat KPDN daerah Gua Musang dengan kerjasama Jakoa akan mengadakan program Jualan Rahmah pada 17 dan 18 Oktober ini

9:00 AM MYT

 


 
KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) tidak menolak kemungkinan peruncit mengenakan harga beras lebih mahal kepada penduduk Orang Asli di kawasan pedalaman di Gua Musang, Kelantan kerana faktor pengangkutan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Sapiah Mohd Nor berkata, bagaimanapun perkara tersebut sudah pun dibawa kepada perhatian pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) daerah Gua Musang.

“Bekalan barang keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula dan tepung adalah di bawah seliaan KPDN dan kita bekerjasama dengan memanjangkan aduan mengenai harga barang kepada pihak terbabit.
 
“Oleh kerana harga yang dikenakan (didakwa) melebihi harga pasaran, berkemungkinan ianya melibatkan faktor pengangkutan berikutan kawasan pedalaman,” katanya kepada Scoop.

Susulan aduan itu, Sapiah berkata, Jakoa akan bekerjasama dengan KPDN untuk memperluaskan program Jualan Rahmah ke penempatan Orang Asli di kawasan terbabit.

Faktor kenaikan harga barang juga bergantung pada lokasi dan pihak Jakoa tiada maklumat khusus di mana ia berkemungkinan berlaku – Gambar Scoop, 10 Oktober, 2023

“Perkara itu sudah diajukan kepada pejabat KPDN daerah Gua Musang dan pihak terbabit akan bekerjasama dengan Jakoa untuk menangani isu berkenaan melalui program Jualan Rahmah yang diatur minggu depan iaitu pada 17 dan 18 Oktober ini,” katanya.
 
Terdahulu, media melaporkan, penduduk Orang Asli di kawasan pedalaman di Gua Musang mendakwa terpaksa membeli beras pada harga tinggi seperti ditetapkan oleh peruncit.
 
Orang Asli suku kaum Temiar, Anglah Angah, 41, yang tinggal di Kampung Kelaik, Pos Blau berkata, beliau merupakan antara penduduk yang terkesan dengan harga barangan mahal yang dikenakan kepada pembeli di kawasan pedalaman. 
 
Anglah berkata, disebabkan tidak tahan dengan harga yang tinggi, adakalanya dia terpaksa keluar ke bandar untuk mendapatkan bekalan makanan asas. 
 
Katanya, di kampung harga 10 kilogram (kg) beras boleh mencecah melebihi RM50, beras lima kg dijual berharga RM20, manakala sepeket gula pula RM5.
 
Mengulas lanjut, Sapiah berkata, setakat ini pihaknya tidak mempunyai maklumat kawasan penempatan Orang Asli yang mungkin mengalami kenaikan harga beras.
 
“Faktor kenaikan harga barang itu juga bergantung pada lokasi dan pihak Jakoa tiada maklumat khusus di mana ia berkemungkinan berlaku.
 
“Isu beras ini bukan berlaku di kawasan Orang Asli sahaja malahan ketika ini, seluruh negara juga terkesan dengan kenaikan harga barang,” katanya. – 10 Oktober, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

Related