KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyelar kenyataan penceramah, Ustaz Dusuki Abdul Rani yang mendakwa agensi itu berbohong dan menjadi pemecah umat Islam serta ejen kepada gerakan liberal.
Pengerusi Mais, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, kenyataan penceramah tersebut mempunyai unsur fitnah dan dibuat tanpa memahami maksud serta hikmah larangan penglibatan aktivis politik sebagai pemegang tauliah mengajar agama Islam yang dikuatkuasakan di Selangor.
Justeru, katanya, Mais menasihatkan masyarakat Islam untuk cakna dan memahami maksud dan tujuan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak perkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada aktivis politik.
“Aktivis politik yang dimaksudkan dalam larangan itu tidak terhad kepada orang yang memegang jawatan dalam mana-mana parti politik.
“Larangan itu juga merangkumi mereka yang menjalankan apa-apa aktiviti yang secara jelas mengajak dan mempengaruhi masyarakat untuk menyokong atau memihak kepada parti politik tertentu secara terbuka sehingga melahirkan sikap partisan dan fanatik terhadap sesuatu parti politik serta berpuak-puak dalam kalangan masyarakat Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan siasatan yang dilakukan dan pengesahan tapisan keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), MAIS mendapati Dusuki tergolong dalam aktivis politik yang dimaksudkan itu.
Jelasnya, larangan penglibatan aktivis politik sebagai pemegang tauliah mengajar agama Islam itu dibuat bagi menghalang mana-mana pihak menyalahgunakan medan dakwah dan pengajaran agama Islam sebagai gelanggang politik.
“Larangan ini juga bertujuan untuk mengelak berlakunya penyebaran propaganda politik yang berunsur fitnah dan kebencian kerana ia menjadi punca perselisihan dan perpecahan dalam masyarakat Islam.
“Ini adalah suatu langkah preventif untuk mencegah sebarang mafsadah atau kerosakan daripada berlaku berdasarkan dalil sadd al-zara’ї,” katanya.
Pada masa sama, Abdul Aziz turut menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya larangan itu sebagai suatu sekatan terhadap dakwah dan pengajaran agama Islam di Selangor.
Sebaliknya, beliau berkata, larangan itu adalah langkah preventif untuk memastikan dakwah agama Islam yang disampaikan aktivis politik yang bersikap partisan digantikan dengan pemegang tauliah lain yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam agama Islam yang tidak bersikap partisan.
“Pada masa ini terdapat seramai 5,682 pemegang tauliah yang aktif di Selangor dan penarikan balik tauliah terhadap aktivis politik bermula 2022 hanya melibatkan sejumlah 26 individu iaitu 0.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pemegang tauliah.
“Justeru, larangan ini tidak sama sekali menjejaskan aktiviti dakwah dan pengajaran agama Islam di Selangor. Mais sentiasa komited untuk memastikan aktiviti dakwah dan pengajaran agama Islam terus subur sebagai medan penyebaran ilmu serta bebas daripada propaganda politik,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menasihatkan semua pihak agar sentiasa berhati-hati dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menghina, mengingkari atau mempertikai titah Sultan Selangor atau arahan Mais.
Katanya, ini kerana perbuatan itu merupakan suatu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995. – 9 Oktober, 2023