Gula: Peruncit akui berlaku kekurangan, saran kerajaan apung harga elak krisis bekalan

Harga gula di pasaran global meningkat secara mendadak seperti di Thailand dan ia sudah naik sehingga mencecah RM3.60 (1kg) malah di kebanyakan negara lain juga sudah mahal

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO) menyarankan Kerajaan Perpaduan supaya mengapungkan harga gula mengikut pasaran semasa dunia, bagi menyelesaikan krisis kekurangan bekalan barangan asas itu.

Presiden BRO, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, harga pasaran antarabangsa bagi gula ketika ini sudah mula meningkat antara RM3.60 hingga RM3.70 untuk 1 kilogram (kg) dan wujud keperluan ia ditetapkan pada harga semasa di pasaran antarabangsa.

“Kita sedia maklum, harga gula di pasaran global meningkat secara mendadak seperti di Thailand dan ia sudah naik sehingga mencecah RM3.60 (1kg), malah di kebanyakan negara lain juga sudah mahal.

“Seeloknya bagi saya, kita apungkan sahaja harga gula walaupun ia akan mengalami kenaikan harga. InsyaAllah, kerajaan mampu melaksanakan pelbagai mekanisme dan tindakan dalam menyelesaikan permasalahan bekalan gula,” katanya ketika dihubungi Scoop.

Dalam pada itu, Ameer yang juga Pengarah Urusan Mydin mengakui pihaknya mengalami kekurangan gula, namun masih belum mencapai ke tahap putus bekalan sehingga memberi bebanan kepada pelbagai pihak, khususnya pengguna.

Datuk Ameer Ali Mydin mengakui pihaknya mengalami kekurangan gula, namun masih belum mencapai ke tahap putus bekalan sehingga memberi bebanan kepada pelbagai pihak – Gambar Facebook, 9 Oktober, 2023

Beliau turut menyangkal dakwaan kononnya pasar raya mahupun kedai runcit memaksa orang ramai membeli gula premium sebagai taktik untuk menaikkan harga gula bersubsidi di pasaran.

“Bagi saya, tidak betul, sebab gula premium ini tidak membuatkan mereka rugi, namun untuk bekalkan produk itu, sampai bila boleh bertahan. Ia hanya langkah alternatif kerana harganya kalau premium RM4.50 berbanding bersubsidi RM2.85, memang jauh beza.

“Ini masalah yang kerajaan perlu segera bertindak. Kalau nak dijual pada harga ditetapkan, perlu beri subsidi kepada pembekal kerana mereka sektor swasta dan itu boleh dijual dengan harga murah, namun ap akita takutnya, berlakunya ketirisan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Ma’amor Othman berkata, wujud keperluan untuk kerajaan membenarkan lebih banyak permit import dikeluarkan dalam usaha menangani kekurangan gula di pasaran.

Jelasnya, langkah membuka, mengeluar serta membenarkan lebih banyak permit import itu, secara langsung dapat menangani penguasaan monopoli oleh pihak tertentu yang selama ini sering mengawal harga barangan keperluan rakyat.

Datuk Ma’amor Othman tidak menafikan penjualan gula premium secara meluas adalah tindakan memaksa pelbagai pihak membeli produk tersebut, selain taktik untuk menaikkan harganya – Gambar PPIM, 9 Oktober, 2023

“Buka sahaja kepada pelbagai pihak yang mahu import. Sebagai contoh, kerajaan dulu sejak zaman Tan Sri Robert Kuok bagi subsidi gula, tepung tapi harga dia kawal sebab kilang serta peruncit. Jadi, masa itu, kita berjaya dapat bekalan lebih berkualiti serta murah dari pelbagai negara seperti Turkiye.

“Jadi, takkan orang macam kami mampu menemui pembekal yang lebih baik, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak boleh. Kerajaan harus mempunyai komunikasi lebih holistik dengan pembekal, khususnya di luar negara. Jika tidak, rakyat akan menanggung deritanya,” katanya.

Bagaimanapun, Ma’amor tidak menafikan penjualan gula premium secara meluas adalah tindakan memaksa pelbagai pihak membeli produk tersebut, selain taktik untuk menaikkan harganya.

“Tanggungjawab untuk kawal terletak pada bahu pemerintah sebab mereka mempunyai akses, kita sebagai pengguna tidak mempunyai kuasa, namun untuk melakukan siasatan (menyelesaikan isu ketiadaan gula), yang boleh buat itu adalah penguatkuasa.

“Cadangan penggunaan kad pengenalan (Mykad) untuk membeli barangan bersubsidi seperti gula juga, disifatkan antara kaedah penyelesaian bagus, sekali gus memastikannya diterima mereka yang layak, seterusnya mengelak berlaku ketirisan. Kaedah ini kalau dilihat sudah lama dipakai di negara lain,” katanya. – 9 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Petros accuses Petronas of strong-arm tactics in blocking Sarawak’s gas rights

Court documents reveal claims of dominance abuse and interference with the state’s sole gas aggregator role

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Related