Bayi tertinggal dalam kenderaan: Masyarakat jangan menghukum, ibu bapa disaran pratik langkah ini

Pelbagai faktor menyebabkan ibu bapa ‘terlupa’ keberadaan anak di tempat duduk belakang kenderaan, jadi mereka perlu meletakkan barangan anak ‘di depan mata’ sebagai peringatan

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – ‘Jangan meletakkan kerusi keselamatan kanak-kanak di belakang tempat duduk pemandu, memandangkan kedudukan itu dianggap titik buta’.

Itu antara saranan diberikan pakar perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan sebagai kaedah boleh dipratikkan ibu bapa bagi mengurangkan kebarangkalian mereka tertinggal anak dalam kenderaan.

“Sebaliknya letakkan kerusi kanak-kanak di belakang tempat duduk penumpang supaya ia berada dalam ruang pandangan.

“Sentiasa jadikan amalan untuk memeriksa dalam kabin, termasuk tempat duduk penumpang hadapan dan belakang, sebelum mengunci kenderaan,” katanya kepada Scoop.

Dalam kejadian Jumaat lalu, Pegawai Perubatan HCTM menerima seorang bayi perempuan berusia lapan bulan dalam keadaaan tidak sedarkan diri dari parkir hospital berkenaan akibat tertinggal dalam kenderaan – Gambar hiasan Pexels, 9 Oktober, 2023

Kamarul Ariffin berkata, ibu bapa juga boleh meletakkan barangan anak mereka, seperti beg susu di bahagian hadapan, iaitu di sebelah pemandu sebagai peringatan bahawa anak mereka ada di dalam kenderaan sebelum mereka keluar.

“Pesan kepada pihak sekolah atau pengasuh supaya membuat panggilan telefon kepada anda sebagai ibu bapa atau penjaga, sekiranya anak tidak tiba ke sekolah atau di rumah asuhan pada masa ditetapkan.

“Boleh juga pesan kepada pasangan untuk mengingatkan anda, terutama jika berlaku pertukaran rutin menghantar anak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas beberapa kes ibu bapa tertinggal anak kecil mereka di dalam kenderaan bagi tempoh lama sehingga meninggal dunia.

Dalam kejadian terbaru di Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM), Cheras, Jumaat lalu, pegawai perubatan dilaporkan menerima seorang bayi perempuan berusia lapan bulan dalam keadaaan tidak sedarkan diri dari tempat parkir pada jam 5.53 petang.

Hasil siasatan awal mendapati pada lebih kurang 7.20 pagi, ibu mangsa meletakkannya di bahagian belakang penumpang sebelah kiri dalam kenderaan untuk dihantar ke taska.

Bagaimanapun, ibu mangsa terus memandu ke tempat kerja dengan anggapan anaknya sudah dihantar ke taska.

Wanita berusia 30-an itu hanya menyedari mangsa masih berada dalam kenderaan pada petang hari sama, selepas dimaklumkan suaminya bahawa anak mereka tidak dihantar ke taska.

Bagi Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Saad, pelbagai faktor pendorong boleh menyebabkan seseorang ibu atau bapa ‘terlupa’ dengan keberadaan anaknya di tempat duduk belakang kenderaan.

Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Saad berkata, banyak faktor boleh mempengaruhi ibu bapa, sehingga ‘terlupa’ keberadaan anak di dalam kenderaan. – Gambar UPSI, 9 Oktober, 2023

Dalam kes di HCTM itu, ibu terbabit yang juga seorang doktor mungkin berdepan faktor tertentu, antaranya persekitaran sehingga berdepan situasi berkenaan.

“Mungkin ia (kejadian) disebabkan faktor persekitaran, seperti bidang tugas yang menuntut banyak masa atau ibu itu penat kerana rehat tak cukup.

“Faktor kemungkinan lain adalah baru melahirkan anak, isu kesihatan mental atau tekanan bekerja di hospital, diminta on call atau sebagainya. Jadi kita (masyarakat) jangan ‘judgemental’ (menghakimi) wanita itu,” katanya.

Antara langkah boleh diambil bagi mengurangkan kebarangkalian ibu bapa tertinggal anak dalam kenderaan adalah tidak meletakkan kerusi keselamatan kanak-kanak di belakang pemandu. – Gambar hiasan Pexels, 9 Oktober, 2023

Ditanya apakah pendekatan boleh dilaksanakan bagi mengelakkan risiko berlakunya kejadian seumpama itu, Fauziah berkata, komunikasi secara berkesan dalam kalangan kumpulan sokongan, seperti ahli keluarga, rakan dan mana-mana pihak berkaitan cukup penting serta harus diperkasakan.

“Bila kita stres, kita ada kecenderungan jadi pelupa, jadi kalau isteri ada unsur macam pelupa ke, tak boleh urus diri, mungkin suami boleh main peranan untuk komunikasi, bantu apa yang perlu dan berkongsi masalah.

“Kerana itu pentingnya kumpulan sokongan sama ada ibu bapa, suami, ahli keluarga, rakan, kaunselor di tempat kerja atau komuniti yang perlu sentiasa peka.

“Kalau lihat ahli keluarga, kawan, kenalan atau pekerja kita macam ada isu, kita bantu dan beri sokongan supaya ada tempat untuk dia luah serta kongsi masalah,” katanya.

Sementara itu, Pakar Psikologi Kaunseling, Fakulti Pengajian Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Datuk Mohamed Fadzil Che Din berkata, kes ibu bapa tertinggal anak di dalam kenderaan berkait dengan sikap mementingkan diri.

Profesor Datuk Mohamed Fadzil Che Din berkata, kes ibu bapa tertinggal anak dalam kenderaan berkait dengan sikap mementingkan diri, justeru ia harus dielakkan. – Gambar UPNM, 9 Oktober, 2023

“Manusia ini kadang kala terlalu mementingkan agenda mereka, contoh sebagai doktor, pentingnya nyawa pesakit, bila sepatutnya rehat, dia tidak mahu rehat dan nak juga bekerja.

“Tapi kerana pentingkan diri dan hendak bekerja, dia terabai benda-benda lain, tanggungjawab sebagai bapa, ibu dan ahli masyarakat,” katanya.

Mohamed Fadzil berkata, berikutan itu, masyarakat perlu meningkatkan kepekaan supaya tidak mementingkan diri.

“(Contoh lain) Di jalan raya semua orang pentingkan diri, semua nak laju, nak cepat, parkir merata, jadi tamak haloba, (maka) kena ubah perkara itu, kita perlu juga (melihat) kepentingan orang lain, terutama mereka yang dekat dengan kita,” katanya. – 9 Oktober, 2023.

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Lelaki Itu bongkar konflik rumah tangga, penonton juga alami perkara sama: Sarimah Ibrahim

Isu kesihatan mental yang cuba diangkat dalam drama bersiri Lelaki Itu antara faktor utama artis versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim bersetuju membawakan watak sebagai Sharifah Qaidah.

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related