Malaysia catat kemajuan dalam peralihan tenaga, permudah urusan perniagaan: PM

Perdana Menteri turut menyakinkan pemimpin industri bahawa Malaysia adalah sebuah negara mesra perniagaan

12:35 PM MYT

 

ABU DHABI – Malaysia telah mencatat kemajuan dalam usaha peralihan tenaga selain bertindak memudahcara aspek menjalankan perniagaan di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika berkongsi usaha itu dengan kumpulan pemimpin industri pada sesi meja bulat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) di sini pada Khamis, beliau turut menekankan komitmen Malaysia untuk melaksanakan dasar lebih baik serta jelas berkaitan aspek tenaga boleh baharu (TBB) dan kemajuan teknologi.

Malah, Perdana Menteri berkata Malaysia muncul antara negara terawal di rantau Asia Tenggara yang menggerakkan usaha TBB dengan Sarawak sebagai hab tenaga utama dan membekalkan tenaga kepada ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan.

Pada masa sama, Malaysia turut terbabit dalam perdagangan tenaga rentas sempadan pertama di rantau Asean di bawah Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia-Singapura untuk mengukuhkan Grid Tenaga Asean.

“Kapasitinya sebegitu besar berikutan pelaburan baharu yang bergantung kepada grid dan tenaga boleh baharu ini,” kata beliau yang dalam rangka lawatan kerja selama dua hari ke UAE mulai semalam.

Pada sesi itu, Perdana Menteri turut menyakinkan pemimpin industri itu bahawa Malaysia adalah sebuah negara mesra perniagaan, termasuk langkah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melancarkan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

“NIMP membentangkan hala tuju jelas mengenai apa yang perlu dilaksanakan dan kejelasan sedemikian adalah wajar untuk kemudahan menjalankan perniagaan. Ini penting bagi memastikan kita kekal kompetitif,” kata beliau.

Anwar berkata Malaysia merupakan peneraju dari segi teknologi baharu dalam industri mikrocip serta semikonduktor membabitkan kalangan negara-negara sedang pesat membangun.

Ini termasuk langkah pengeluar semikonduktor terbesar Jerman, Infineon Technologies AG membuat pelaburan tambahan sehingga lima bilion euro untuk membina loji fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) 200 milimeter (mm) terbesar dunia di Malaysia.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga berkongsi rasa optimis bahawa Malaysia kini di landasan tepat untuk mengulangi pencapaian ekonomi yang mantap sepertimana pada 90-an, bersama-sama dengan negara-negara Asean.

“Ini bermakna, kita perlu melakukan apa yang sewajarnya untuk berdaya saing agar ekonomi dan rakyat kita mendapat manfaat daripada dasar serta inisiatif berkenaan.

“Apabila ke Malaysia, anda boleh saksikan sendiri perubahan berbanding pada lima, tiga atau dua tahun lepas.

“Saya juga ingin tegaskan satu perkara — keadaan sekarang jauh lebih baik serta mudah untuk menjalankan perniagaan kerana wujudnya keazaman lebih jelas dan kepimpinan yang efektif bagi memastikan kita dapat berfungsi berkesan,” kata beliau.

Hadir sama pada sesi itu adalah Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Perdagangan Luar UAE Dr Thani Ahmed Al Zeyoudi. – 6 Oktober, 2023

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related