KUALA LUMPUR — Pergerakan Pemuda Umno menyarankan supaya ketuanya, Dr Muhammad Akmal Saleh diberi peluang untuk berada di dalam Kabinet sekiranya rombakan Kabinet dilakukan.
Akmal merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau dan menjawat jawatan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka.
Saranan berkenaan dibuat oleh beberapa ketua pemuda Umno bagi membolehkan gelombang suara anak muda didengar dalam Dewan Rakyat selain menambahkan kekuatan kepada Kerajaan Perpaduan.
Antara yang membuat saranan tersebut adalah Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin; Fikran Hamshi Mohamad Fatmi (Kota Bharu), Mohd Raqib Abu Hasan (Kedah), Mohd Radhi Abdul Rahim (Langkawi), Farhan Ahmad (Pokok Sena), Muhammad Farouq (Jasin) serta Azman Azeez yang juga Exco Pemuda Umno.
Menurut Azman, pergerakan tersebut memohon pertimbangan daripada kepimpinan tertinggi Umno untuk mencadangkan Akmal diberi tempat dalam jemaah menteri Kerajaan perpaduan sekiranya ada rombakan berlaku.
“Kami yakin YB Dr Akmal akan memberi nilai tambah yang boleh meningkatkan sokongan rakyat khususnya orang muda kepada kerajaan perpaduan sekiranya diberi ruang dalam Kabinet,” katanya dalam satu kenyataan.
Manakala Farhan pula berkata, Akmal layak dipertimbangkan secara serius sebagai anggota Kabinet dan pelantikannya akan membantu kepimpinan Perdana Menteri dalam menghadapi keadaan politik dan ekonomi yang mencabar ini.
“Saya yakin Akmal akan dapat menarik sokongan anak muda,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kemungkinan akan berlaku rombakan Kabinet melibatkan beberapa kementerian terutama bagi mengisi kekosongan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) susulan kematian Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.
Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beberapa hari lalu berkata beliau belum mempunyai keputusan berhubung rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan seperti yang diperkatakan sesetengah pihak.
Semalam, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula berkata Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri tidak membincangkan apa-apa perkara mengenai jawatan atau rombakan Kabinet . – 5 Oktober, 2023