Arahan PM elak tetamu ‘disidai’ langkah reformasi selesai budaya dianggap remeh, ada maksud tersirat

Teguran berkenaan juga bagi memastikan penjawat awam, termasuk VIP menepati waktu, berdisiplin dan lebih efisien

7:58 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Arahan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya semua jabatan kerajaan yang menganjurkan program rasmi tidak meminta tetamu hadir terlalu awal, dianggap langkah reformasi dilaksanakan kerajaan dalam menyelesaikan sesuatu isu berbangkit, walaupun ia mungkin dianggap segelintir pihak sebagai ‘perkara remeh-temeh’.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil berkata, arahan itu disifatkan sebagai teguran Perdana Menteri bagi memastikan penjawat awam dan pemimpin lebih efisien.

Jamaie Hamil berkata meskipun ada yang menganggap teguran berkenaan sebagai remeh namun ia menunjukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim berbeza dengan Perdana Menteri sebelum ini. – Gambar UKM.my, 5 Oktober, 2023

Katanya, ia juga bertujuan mewujudkan golongan tertentu, termasuk penganjur acara dan orang kenamaan agar lebih berdisiplin dalam melaksanakan tanggungjawab, khususnya ketika menjayakan program mengikut masa ditetapkan.

“Walaupun ada menganggap arahan itu kurang wajar kerana remeh, kenyataannya berhubung perkara terbabit menunjukkan Anwar berbeza daripada Perdana Menteri sebelum ini.

“Bukan itu sahaja, ia menunjukkan beliau cuba menyelesaikan masalah sering tercetus dalam kalangan golongan tertentu yang boleh merosakkan reputasi pihak berkaitan.

“Perdana Menteri mahu melihat sikap menepati waktu. Malah, kalau kata tidak boleh datang, maklumkan sahaja awal. Jangan sudah berjanji tetapi selepas tetamu menunggu lama orang kenamaan ini hanya menghantar wakil yang pasti mengecewakan hadirin,” katanya kepada Scoop.

Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini berkata kelazimannya pengendali acara meminta tetamu hadir terlalu awal dan ia boleh menjejaskan produktiviti negara. – Gambar fail Scoop/Sairien Nafis, 5 Oktober, 2023

Terdahulu, Perdana Menteri ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Ramah Mesra MADANI di sini, baru-baru ini dilapor mengarahkan semua jabatan kerajaan yang menganjurkan program rasmi, tidak ‘menyidai’ tetamu, iaitu mengelakkan daripada meminta mereka hadir terlalu awal kerana ia boleh menjejaskan produktiviti negara.

Malah, beliau mengarahkan semua jabatan kerajaan tidak berbuat demikian kerana boleh menyebabkan berlakunya pembaziran masa.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menegaskan, amalan biasa pengendali majlis adalah meminta tetamu hadir terlalu awal sehingga ada dalam kalangan mereka perlu menunggu satu jam sebelum program bermula.

Manakala, bagi penganalisis politik dan hubungan antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Hussain Yusri Zawawi, arahan Perdana Menteri itu dianggap mempunyai maksud tersirat sebagai peringatan kepada orang kenamaan, termasuk pemimpin supaya tidak membudayakan sikap lewat hadir ke sesuatu acara.

Jelasnya, beliau melihat isu utama yang mengakibatkan Anwar memberi arahan itu bermula daripada sikap segelintir orang kenamaan lewat hadir ke program anjuran agensi kerajaan, sekali gus menyebabkan tetamu terpaksa menunggu begitu lama.

Arahan Perdana Menteri itu dianggap mempunyai maksud tersirat sebagai peringatan kepada orang kenamaan, termasuk pemimpin supaya tidak membudayakan sikap lewat hadir ke sesuatu acara. – Gambar fail Scoop, 5 Oktober, 2023

Teguran itu juga, katanya, disifatkan sebagai ‘tamparan hebat’ daripada Perdana Menteri bukan sahaja bagi memastikan pihak jabatan kerajaan, malah pemimpin hadir tepat pada masa acara dijadualkan, sekali gus menggalakkan produktiviti.

“Di Malaysia, sebagai contoh, jika VIP (orang kenamaan) datang pada jam 4 petang, tetamu pula hadir jam 3 petang, namun ada pula situasinya golongan itu datang lewat sehingga jam 5 petang.

“Itu sudah menjadikan tetamu terpaksa menunggu sehingga dua jam. Ini sikap yang perlu dihentikan pemimpin mahupun VIP yang hadir ke sesuatu acara,” katanya kepada Scoop.

Beliau berkata, isu terbabit sebenarnya perlu diberi perhatian kerana bukan tetamu yang sebenarnya hadir lewat dan mereka sudah mengikut masa ditetapkan penganjur, tetapi orang kenamaan lambat tiba.

“Saya berpandangan tidak menjadi masalah jika tetamu hadir sejam lebih awal sebelum VIP bagi memastikan penganjur dapat memastikan semuanya benar-benar bersedia, tetapi tidaklah sehingga perlu menunggu terlalu lama,” katanya. – 5 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

Lim Guan Eng faces party rebellion as grassroots call for his ouster

Party insiders say growing dissent over Lim’s leadership, with critics blaming him for internal strife and strategic missteps

Umno on life support: time for Anwar to pull the plug and bury the loonies – Tuan Muda

The writer doesn't mince his words when he calls for curtains on Malaysia's once premier Malay party

MACC raids home of Ismail Sabri’s ex-aide, over RM100 mil cash seized

Source says authorities also confiscated documents, jewellery, electronic devices

Related