Penduduk Kg Sg Baru terselamat sekali lagi daripada pengusiran…buat sementara waktu

Penduduk masih berharap agar rayuan mereka supaya pengusiran itu ditunda ke hujung tahun ini akan diterima oleh pihak berkuasa.

5:26 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengusiran penduduk Kg Sg Baru bagi memberi laluan kepada projek pembangunan semula bernilai berbilion ringgit, ditangguhkan lagi.

Beberapa penduduk, yang pada mulanya dijadualkan berpindah hari ini, memberitahu Scoop bahawa mereka hanya mengetahui perkara tersebut melalui Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres dan Flat Kg Baru.

Meskipun penangguhan itu memberi lebih masa kepada penduduk untuk bersiap sedia dengan pengusiran mereka kelak, namun ketiadaan notis rasmi daripada pihak berkuasa mengenai perkara itu nyata membimbangkan dan mengecewakan.

“Kita (penduduk) hanya mendengar daripada jawatankuasa bahawa pengusiran itu ditangguhkan kepada 31 Oktober. Kami belum menerima sebarang surat rasmi daripada pihak berkuasa,” kata salah seorang penduduk, Rozana Aini, 51.

Menyedari bahawa ini adalah penangguhan kali ketiga, Rozana berkata rundingan seterusnya antara pemilik tanah dan pemaju swasta Ritzy Gloss Sdn Bhd, yang telah dijanjikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, masih belum ada.

“Kita hanya mahukan keadilan..pemaju perlu datang dan berjumpa dengan kami serta mendengar tuntutan kami untuk mendapatkan pampasan yang lebih baik kerana jumlah yang ditawarkan kini adalah tidak logik,” katanya.

Rozana memberitahu, penduduk masih berharap agar rayuan mereka supaya pengusiran itu ditunda ke hujung tahun ini akan diterima oleh pihak berkuasa.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa penduduk Kg Sg Baru tidak berpuas hati dengan perbezaan kira-kira 310% pampasan yang ditawarkan oleh Pejabat Tanah dan Galian berbanding penilaian oleh pihak swasta.

Dalam satu kes, flat seorang penduduk bernilai RM470 sekaki persegi oleh Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Kementerian Kewangan, manakala penilai bebas memaklumkan aset itu bernilai RM1,480 sekaki persegi.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, yang hanya mahu dikenali sebagai Ali, menggesa pentadbiran Anwar membuat kenyataan umum bagi meredakan kebimbangan pemilik tanah.

“Adakah mereka (pegawai kerajaan) sudah mula berunding dengan pemaju mengenai projek itu?
” Mengapa kita (penduduk) tidak dimaklumkan?

“Bagaimana mereka membiarkan kita dalam kegelapan? Kita mempunyai maruah. Jangan cuba melayan kami seperti setinggan,” katanya.

Setiausaha politik Anwar, Azman Abidin, sebelum ini mengesahkan kepada Scoop bahawa pengusiran itu telah ditunda ke 31 Oktober.

Januari lalu, Anwar telah menghentikan projek pembangunan bercampur itu bagi membolehkan rundingan lanjut diadakan dengan penduduk dan pihak berkepentingan.

Bagaimanapun, pada 5 September lalu, penduduk telah diberikan notis pengusiran yang dikeluarkan oleh Pentadbir Tanah Kuala Lumpur.

Pada masa itu, penduduk juga merayu agar Anwar mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai notis pengusiran yang menyatakan bahawa penduduk didapati tinggal di tanah kerajaan tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri.

Menurut notis itu, ia merupakan pelanggaran Seksyen 425(1) Kanun Tanah Negara.

Undang-undang menetapkan bahawa mereka yang didapati menduduki tanah kerajaan atau rizab tanpa kebenaran yang sah, antara lain, boleh didenda maksimum RM500,000 atau dipenjara sehingga lima tahun.

Pengusiran penduduk adalah selaras dengan Akta Pengambilan Tanah (LAA) 1960, undang-undang yang digunakan kerajaan untuk mengambil milikan rasmi tanah di kawasan bersejarah Melayu pada Jun 2021.

Ini selepas permohonan Ritzy Gloss untuk LAA diluluskan oleh Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Tan Sri Annuar Musa di bawah kerajaan Perikatan Nasional.

Jabatan Perdana Menteri kini menyelia hal-hal Wilayah Persekutuan. – 4 Oktober, 2023

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Related