KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor bersetuju mengecualikan cukai taksiran bagi 426,656 rumah kos rendah dan rumah kampung di negeri itu untuk tempoh penggal kedua iaitu dari 1 Julai sehingga 31 Disember ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengecualian itu antara beberapa ketetapan diputuskan Majlis Mesyuarat kerajaan negeri bagi merealisasikan lima komitmen utama dalam tempoh 100 hari selepas Kerajaan Perpaduan dibentuk di Selangor.
“Ia membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM29,415, 672.50 bagi semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.
“Bantuan secara bersasar ini diharap meningkatkan pendapatan boleh guna bagi golongan yang memerlukan serta mengurangkan kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kerajaan Selangor juga akan memberikan RM1,000 kepada 500 pengusaha dalam bidang tanaman, ternakan, akuakultur, industri asas tani serta nelayan bagi membantu komuniti itu dan sebagai insentif agar kadar pengeluaran pertanian dapat ditingkatkan.
“Pemberian ini akan dibuat dalam bentuk tunai sebanyak RM500 manakala baki RM500 akan diberikan menerusi input tanaman, peralatan dan bahan mentah.
“Ia akan mula diserahkan pada 31 Oktober ini melalui kerjasama pihak Agro Bank Selangor serta Koperasi Kohijrah Warga Hijrah Selangor Berhad,” katanya.
Beliau berkata, bermula 25 Oktober ini, seramai 760 imam akan menerima bayaran bulanan yang dinaikkan dari RM1,300 kepada RM1,500 sebulan.
Malah katanya, elaun bagi 1,900 nazir, bilal, dan siak juga akan dinaikkan sebanyak RM50 sebulan.
Menerusi insentif tersebut, Amirudin berkata, nazir akan mendapat elaun sebanyak RM300, bilal (RM340) manakala siak (RM290).
“Menginsafi kepentingan masjid bukan sekadar tempat ibadat tetapi pusat pengupayaan ilmu, kerajaan Selangor mengambil pendirian untuk meningkatkan insentif kepada pegawai masjid sebagai tanda penghargaan melalui gaji progresif.
“Secara keseluruhan, pemberian insentif ini merupakan penambahan sebanyak RM2,964,000 dan akan diperuntukkan secara tahunan sebagai ikhtiar kerajaan negeri dalam menggerakkan syiar Islam di Selangor,” katanya.
Pada masa sama, Amirudin berkata, sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut, Smart Selangor Operation Centre akan mengkoordinasi dan memantau pemakluman kepada rakyat menerusi kerjasama dengan Jabatan Meteorologi (METMalaysia).
Katanya lagi, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi kawasan berisiko bencana akan ditambah fasiliti seperti keperluan asas dan bekalan kit makanan.
“Semua PBT, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan jabatan lain berkaitan dipertanggungjawabkan untuk segera membersihkan kolam takungan, saliran, parit dan longkang terutamanya di kawasan berisiko tinggi banjir bagi membolehkan sistem saliran air berfungsi secara optimum.
“Selain itu, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat kerajaan negeri turut ditugaskan mengikut skop yang ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan Selangor juga akan bekerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), beberapa agensi serta institusi lain termasuk Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur dan Tohuku University bagi mengurangkan risiko di peringkat lokaliti dengan melibatkan rakyat dan komuniti setempat.
Terdahulu, Amirudin ketika berucap pada Amanat Khas Menteri Besar Selangor pada 11 Ogos lalu mengumumkan lima perkara utama tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pentadbiran sekiranya Kerajaan Perpaduan kekal berkuasa selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Amirudin memberitahu, keyakinan melaksanakan lima tawaran bukanlah kerana angkuh, tetapi yakin dengan kebijaksanaan rakyat di negeri ini. – 4 Oktonber, 2023