PUTRAJAYA – Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azizah Nawawi hari ini menarik diri daripada mendengar rayuan Datuk Seri Najib Razak dalam kes saman RM1.9 juta terhadap mantan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas atas dakwaan salah guna jawatan awam.
Azizah yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu atas alasan kepentingan awam.
Di awal prosiding rayuan itu, Azizah mendedahkan di mahkamah bahawa suaminya Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman pernah berkhidmat di bawah Tommy di Jabatan Peguam Negara.
Peguam Najib, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin kemudian memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan arahan lanjut daripada bekas Perdana Menteri itu.
Selepas mahkamah bersidang semula, Firoz Hussein kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa arahan daripada anak guamnya ialah supaya Azizah menarik diri daripada panel rayuan itu.
Azizah kemudian memutuskan menarik diri daripada mendengar rayuan terbabit.
“Saya bercadang menarik diri daripada mendengar kes ini kerana suami saya (berkhidmat) secara terus di bawah responden (Thomas).
“Atas asas bahawa (penarikan ini) adalah kerana ia membabitkan kepentingan awam,” katanya.
Peguam mewakili Thomas, Alan Adrian Gomez bagaimana pun memaklum pihaknya tidak mempunyai masalah sekiranya Azizah mahu meneruskan prosiding sebagai panel hakim.
Selain Azizah, panel lain adalah Datuk See Mee Chun dan Datuk Lim Chong Fong.
Mahkamah kemudian menetapkan minggu depan bagi pengurusan kes untuk menentukan ahli panel baharu.
Pada 25 November tahun lalu, Thomas berjaya dalam permohonannya untuk membatalkan saman yang difailkan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa untuk mendakwanya atas pertuduhan membabitkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache ketika membenarkan permohonan Thomas berkata tuntutan yang dikemukakan oleh Najib selaku plaintif tidak boleh dipertahankan dan tidak ada sebab tindakan yang munasabah.
Tommy adalah Peguam Negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Februari 2020.
Dalam saman yang difailkan pada 22 Oktober 2021, Najib berkata, pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah yang telah dirancang lebih awal oleh Tommy dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.
Beliau memohon pengisytiharan bahawa Tommy telah melakukan penyelewengan dalam jawatan awam serta menuntut ganti rugi sebanyak RM1.9 juta, termasuk yuran rundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta bagi menangani pendakwaan terhadapnya. – 4 Oktober, 2023.