UPSR, PT3: ‘Tidak perlu dikembalikan, bimbang lahir golongan hanya menghafal, cetus stres’

Namun, pendapat berbeza diberikan PIBGN dengan menganggap ia wajar dilaksanakan semula menerusi kaedah 60 peratus dinilai daripada peperiksaan akhir, manakala 40 peratus melalui penafsiran pembelajaran dalam kelas

10:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dikhuatiri melahirkan generasi yang hanya mahu menghafal semata-mata untuk memperoleh gred A, tanpa mengetahui serta memahami apa dipelajari mereka.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, sekiranya dua peperiksaan utama itu dikembalikan, pelajar serta guru juga dibimbangi akan stres dalam aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP), terutama pada hujung tahun bagi memastikan mereka mampu meraih prestasi baik.

Datin Noor Azimah Abdul Rahim menolak cadangan supaya UPSR dan PT3 dikembalikan kerana menganggap sistem pendidikan sedia ada sudah bagus. – Gambar media sosial, 4 Oktober, 2023

Justeru, walaupun wujud cadangan daripada pakar akademik tertentu supaya ia dilaksanakan semula, beliau berpendirian sebaliknya.

“Sistem sekarang sudah bagus kerana pelajar akan terus belajar dari semasa ke semasa daripada hanya tertumpu kepada peperiksaan besar, seperti UPSR dan PT3.

“Jadi, bagi saya tidak perlu dikembalikan UPSR dan PT3, teruskan ujian secara berkala seperti sekarang. Dengan adanya ujian berkala ini, pelajar akan terus belajar secara konsisten, malah pembelajaran sebegitu lebih baik untuk sistem pendidikan negara,” katanya kepada Scoop.

Beliau berkata, sebelum keputusan memansuhkan UPSR dan PT3 diumumkan, sudah tentu Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan pelbagai kajian berhubung hal itu.

“Kita kena hormati keputusan KPM, sudah semestinya sebelum kementerian mengambil keputusan untuk memansuhkan UPSR dan PT3, kajian dilaksanakan daripada semua aspek,” katanya.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hassan memberi pendapat berbeza apabila menganggap dua peperiksaan itu wajar dilaksanakan semula, tetapi menerusi modifikasi baharu.

Datuk Mohamad Ali Hassan – Gambar Bernama, 4 Oktober, 2023

Jelasnya, ia boleh dilaksanakan berlandaskan kaedah 60 peratus dinilai daripada peperiksaan akhir, manakala 40 peratus menerusi penafsiran pembelajaran dalam kelas.

Malah, beliau berpendapat, peperiksaan peringkat kebangsaan itu perlu dilaksanakan semula bagi memudahkan penilaian dibuat untuk tujuan kemasukan ke asrama seperti sebelum ini.

“Saya bersetuju dan wajar cadangan itu dipertimbangkan KPM untuk memastikan generasi masa depan memperoleh pendidikan bersesuaian dan terbaik,” katanya.

Mohamad Ali berkata, sekiranya tiada penilaian peringkat kebangsaan seperti UPSR dan PT3, ia dibimbangi menyebabkan berlaku ketidakpiawaian standard gred semata-mata ingin menaikkan imej sekolah.

“Saya merasakan adanya ketidakpiawaian sebab sesebuah sekolah itu boleh menafsirkan gred atau merendahkan markah, bagi menaikkan jumlah pelajar yang mendapat gred A untuk meningkatkan imej sekolah sendiri.

“Kalau ada peperiksaan peringkat kebangsaan, ia tidak mungkin berlaku sebab semuanya sudah ditetapkan mengikut piawaian KPM,” katanya.

Pada Mac lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan, KPM tidak berhasrat melaksanakan semula UPSR dan PT3 dalam tempoh terdekat.

Fadhlina Sidek – Gambar Facebook, 4 Oktober, 2023

Menurutnya, tumpuan kini diberi kepada Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Bagaimanapun, perkara itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan pihak tertentu, termasuk pakar akademik dan segelintir ibu bapa.

Mereka beranggapan pemansuhan dua peperiksaan itu bukan sahaja menyebabkan pelajar mengambil mudah terhadap pelajaran dan belajar sambil lewa, tetapi juga menyaksikan segelintir ibu  bapa mengeluh kerana anak sudah tidak bermotivasi untuk menuntut ilmu.

Pada April 2021, KPM ketika diterajui Datuk Radzi Jidin mengumumkan pemansuhan UPSR selepas ia mula diperkenalkan pada 1988 bagi menggantikan Penilaian Darjah Lima ketika itu.

Pemansuhan UPSR dan PT3, masing-masing pada April 2021 serta Jun 2022 diumumkan Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Radzi Jidin – Gambar Facebook, 4 Oktober, 2023

Manakala, PT3 yang dilaksanakan sejak 2014 bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR), dimansuhkan pada Jun 2022. – 4 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

Malaysia’s new social media regulatory framework: What you need to know

New rules aim to curb cybercrime and online harm, individual users not affected

EPF 2024 dividend rate in 6%-6.2% range expected: analyst

Fund had diversified investments amidst a resilient global economy and other favourable conditions last year, may face a challenging 2025 due to global political and economic uncertainties

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related