Jerebu bukan fenomena semulajadi, tetapi kerana manusia, ‘tuding jari tidak selesai masalah’

Mengulas mengenai dakwaan bahawa syarikat Malaysia di Indonesia sebagai punca masalah, Helena menegaskan kerajaan negara seberang berkenaan sepatutnya mengambil langkah wajar

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Masalah jerebu tidak akan berlaku secara semulajadi, sebaliknya ia disebabkan tindak-tanduk manusia sendiri yang tidak bertanggungjawab dalam memelihara alam sekitar.

Berkongsi pandangannya mengenai masalah jerebu, Pensyarah Kanan Politik Alam Sekitar, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Helena Varkkey berkata, punca kepada permasalahan jerebu adalah disebabkan pembakaran terbuka atau secara haram.

Sikap menuding jari untuk mencari siapa bersalah, antara perkara biasa dicetuskan setiap kali jerebu melanda. – Gambar hiasan Unsplash, 4 Oktober, 2023

“Penggunaan tanah tidak mampan di kawasan sensitif yang terdedah kepada kebakaran seperti tanah gambut untuk pertanian juga menjadi antara punca.

“Jika tidak ada pemangkin yang mencetus kebakaran, kita tidak mungkin berhadapan dengan masalah jerebu,” katanya kepada Scoop.

Dalam usaha kembali ‘mencantikkan’ bacaan udara di negara ini, Dr Helena menyarankan semua pihak agar memainkan peranan, antaranya tidak melakukan pembakaran terbuka dan haram di kawasan masing-masing, selain melaporkan sebarang aktiviti terbabit kepada pihak berkuasa.

“Kita boleh mendidik diri dengan menjadi masyarakat peka dengan tidak melakukan pembakaran terbuka.

“Kita juga perlu membeli produk yang menyokong projek pemuliharaan alam, agar ia akan terus dapat diterapkan pemain industri untuk sentiasa terlibat dalam usaha mengelakkan pencemaran udara daripada terus berleluasa,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan segelintir pihak di Indonesia menyalahkan syarikat milik Malaysia yang beroperasi di sana sebagai punca jerebu, Dr Helena berkata, sikap menuding jari untuk mencari siapa bersalah, antara perkara biasa dicetuskan setiap kali jerebu melanda.

“Memang banyak syarikat perladangan dari Malaysia bekerjasama dengan Indonesia, namun kesemua syarikat terbabit beroperasi mengikut segala syarat dan peraturan ditetapkan pemerintah di sana. Kerajaan Malaysia tidak boleh campur tangan dengan pengurusan negara seberang.

“Bagi mana-mana syarikat di sana, sama ada dari Malaysia atau tidak, sekiranya syarikat itu beroperasi tidak mengikut peraturan ditetapkan, kerajaan Indonesia yang sepatutnya mengambil langkah wajar untuk menghukum pihak bersalah, sehingga menyebabkan jerebu,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perlindungan Warisan Semula Jadi Malaysia (Peka) Kumpulan Alam Sekitar, Damien Thanam berkata, kerajaan negara ini seharusnya campur tangan dengan mendedahkan senarai 20 syarikat tempatan yang menyumbang kepada jerebu.

Baru-baru ini tinjauan jerebu di sekitar Putrajaya telah mencatat Indeks Pencemaran Udara IPU 153. – Gambar Scoop/Alif Omar, 4 Oktober, 2023.

“Kerajaan Malaysia juga perlu mengambil tindakan tegas terhadap ahli Lembaga Pengarah syarikat berkenaan.

“Ia sebagai pengajaran agar tidak lagi berlaku pembakaran terbuka di sana sehingga memberikan kesan terhadap penduduk di Malaysia,” katanya.

Damien berpendapat, Malaysia perlu membantu kerajaan Indonesia dengan menghantar aset diperlukan bagi memadamkan kebakaran hutan di negara berkenaan.

“Negara kita ada aset cukup untuk berbuat demikian. Walaupun kebakaran ini berlaku di Indonesia, kerajaan Malaysia perlu campur tangan sebab hasilnya, rakyat kita juga kena (kesan daripada jerebu di Malaysia),” katanya.

Sejak beberapa hari lalu, beberapa kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dan ia semakin membimbangkan.

IPU hari ini menunjukkan lima kawasan, iaitu Petaling Jaya, Cheras, Banting, Nilai dan Seremban merekodkan bacaan melebihi 101, iaitu tidak sihat. – 3 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

Let us not forget our unsung heroes – Ravindran Raman Kutty

We must recognise the many ordinary Malaysians doing extraordinary things

Tiong King Sing gets feet wet to aid victims as over 1,000 evacuated in Sarawak floods

Women, Family & Community Development Minister Datuk Seri Nancy Shukri says assistance was immediately mobilised on first day of Chinese New Year

Vehicles plough into pedestrians in vicious hit-and-run attack near Old Klang Road

Two individuals left injured as sedan and pickup truck deliberately ram into group, police probe attempted murder

Related