KUALA LUMPUR – PAS tetap yakin bahawa parti itu sekali lagi akan meraih kemenangan besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, kata Mursyidul Amnya, Datuk Hashim Jasin.
Beliau juga yakin dengan kewibawaan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, seandainya individu itu sekali lagi dipilih sebagai calon PRK berkenaan.
“Saya yakin jika PRK (Kemaman) diadakan, kemenangan besar boleh dicapai, kita lihat keputusan lalu dengan majoriti lebih 27,000.
“Siapa pun calon saya percaya perkara itu akan diputuskan kepimpinan parti kelak, namun tidak dinafikan beliau (Che Alias) mampu bawa kemenangan.
“Malah, rakyat kawasan itu sememangnya meletakkan kepercayaan tinggi kepada parti untuk menjaga kebajikan mereka,” katanya kepada Scoop hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan PAS untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya yang ditetapkan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu bagi Parlimen Kemaman.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, justeru parti itu kini menunggu dan bersiap sedia untuk mengambil langkah selanjutnya.
Pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid daripada Pas yang bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketika itu, Che Alias memenangi kerusi berkenaan selepas mendapat 65,714 undi menewaskan tiga calon lain, iaitu Datuk Seri Ahmad Said daripada Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 38,535 undi, Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) dengan 8,340 undi dan calon Pejuang, Rosli Ab Ghani (506 undi).
Che Alias berjaya mempertahankan kerusi itu untuk penggal kedua dengan majoriti 27,179 undi.
Naib Presiden PAS, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar pula berkata, parti itu belum membuat sebarang keputusan berhubung siapa calon akan diletakkan di kerusi PRK berkenaan nanti.
“PAS tidak memandang rendah mana-mana parti dan calon lain yang akan bertanding pada PRK Parlimen Kemaman.
“PAS sebaliknya akan bekerja keras untuk mengekalkan kemenangan di kerusi itu dengan menyasarkan majoriti lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik, Datuk Shamsuddin Nawawi berkata, tidak menjadi kesalahan sekiranya PAS mahu mencalonkan Che Alias sekali lagi pada PRK Parlimen Kemaman.
“Dalam keputusan petisyen pilihan raya, hakim yang dengar buat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jika dalam laporan itu beliau menamakan seseorang yang melakukan kesalahan rasuah, orang itu memang tidak boleh bertanding dan mengundi.
“Contoh keputusan petisyen Parlimen Cameron Highlands pada 2018, Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk C Sivarraajh dinamakan sebagai orang yang melakukan rasuah. Itu sebab dia tak boleh bertanding lagi selepas itu, kena lepaskan lima tahun,” katanya.
Manakala, Shamsuddin berkata, dalam kes petisyen Parlimen Kemaman dan Kuala Terengganu, laporan dikemukakan hakim kepada SPRM tidak menamakan mana-mana orang atau individu melakukan rasuah.
“Jadi kalau orang sama diletakkan sebagai calon, tidak ada siapa boleh bantah sebab tiada apa kesalahan yang dilakukan dan tiada rekod jenayah,” katanya. – 3 Oktober, 2023.