KUALA LUMPUR – Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak yang dikhuatiri hilang selepas bercuti di Pulau Perhentian pada 29 September lalu sudah meninggalkan jeti Kuala Besut, Terengganu, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad ketika dihubungi Scoop mengesahkan ia antara petunjuk baru diperolehi pihaknya setakat ini.
“Kita dapat maklumat terbaharu mengatakan mereka sudah menaiki bot dan sampai di jeti Kuala Besut sekitar jam 9 pagi Ahad lalu sebelum meninggalkan lokasi itu.
“Usaha untuk mengesan kesemua mangsa berdasarkan petunjuk baharu itu sedang giat dilakukan,” katanya yang turut mengesahkan menerima laporan polis daripada ahli keluarga mangsa semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kenderaan jenis Proton Saga BLM berwarna biru muda dengan nombor pendaftaran JRW6380 dinaiki kesemua mangsa dikesan bergerak keluar dari pekan Kuala Besut menuju ke arah jambatan dekat Kampung Seberang Kastam pada jam 10.06 pagi Ahad lalu.
“Bagaimanapun sehingga kini, keberadaan kesemua mangsa masih gagal dikesan dan dihubungi,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua mangsa tiba di Pulau Perhentian pada 29 September lalu dan menyertai aktiviti snorkeling sejurus tiba dan sehari kemudian sebelum meninggalkan lokasi itu, kelmarin.
“Namun pengendali bot memaklumkan telefon ibu mentua dan adik lelaki pengadu terkena air dan tidak dapat dihidupkan.
“Mangsa juga mengatakan akan ke Batu Buruk, Kuala Terengganu selepas keluar dari Pulau Perhentian,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menyeru kepada mereka yang mempunyai maklumat berhubung keberadaan mangsa supaya menghubungi pengawai penyiasat kes, Inspektor Nur Izzati Arina di talian 017-3792157 atau pergi ke balai polis berhampiran.
“Polis juga memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak benar yang akan mengganggu siasatan polis,” katanya.
Awal hari ini, Scoop melaporkan seorang pemuda memohon bantuan orang ramai untuk mencari ibu mentua, adik lelaki dan dua anaknya yang gagal dikesan ketika bercuti ke Pulau Perhentian pada 29 September lalu.
Ah Pek menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan kali terakhir dia berhubung dengan ahli keluarganya itu pada Jumaat lepas.
Menurutnya, kereta dinaiki ibu mentua dan adik lelakinya serta dua anak lelaki dan perempuannya dipercayai diletakkan di jeti Kuala Besut sebelum mereka menggunakan bot untuk ke pulau tersebut.
“Mungkin jarang aku nak minta tolong tapi kali ini aku betul-betul perlukan pertolongan. Mak mentua, adik lelaki termasuk anak saya dua orang masih belum dapat dihubungi sehingga hari ini.
“Nombor plat kenderaan JRW6380. Last update Jumaat (29 September). Lost contact sampai ke hari ini,” katanya.
Difahamkan Ah Pek sudah berada di Besut dan sedang mendapatkan maklumat daripada pengusaha bot dan juga resort tempat empat sekeluarga itu bermalam ketika di Pulau Perhentian.
Sementara itu, Khursani Ab Manaf dipercayai pemandu pelancong sebuah syarikat pelancongan di Pulau Perhentian memaklumkan ahli keluarga Ah Pek menggunakan perkhidmatan bot mereka untuk pergi ke pulau tersebut.
Malah katanya, dua individu dewasa dan dua kanak-kanak itu menaiki bot ke Pulau Perhentian pada jam 9.45 pagi Jumaat lalu.
“Kesemua mereka menginap di Senja Bay (Perhentian Kecil) selama dua malam,” katanya menerusi perkongsian di Facebook, malam tadi.
Bagaimanapun, Khursani memaklumkan empat sekeluarga itu sudah menaiki bot ke jeti Kuala Besut pada jam 8 pagi, Ahad lalu. – 3 Oktober, 2023