PM bagi amaran tindakan tegas pihak sorok beras

Anwar sudah memberikan arahan kepada Mohamad Sabu supaya memastikan pihak penguatkuasaan kementerian memantau perkara berkenaan dan mengambil tindakan kepada pesalah

8:00 AM MYT

 

BENTONG – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran, mana-mana pihak yang didapati menyorok beras di negara ini akan diheret ke mahkamah.

Perdana Menteri berkata beliau sudah memberikan arahan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu supaya memastikan pihak penguatkuasaan kementerian memantau perkara berkenaan dan mengambil tindakan kepada pesalah.

“Memang beras ini dikeluhkan rakyat, harga beras di Indonesia pun Presiden Jokowi beritahu sudah dinaikkan kerana 18 negara yang selalu membekalkan beras ini telah halang, henti atau kurangkan eksport beras mereka, jadi di sini ada isu permintaan dan penawaran.

‘Kemudian ada pula pihak yang sorok, simpan beras ini, kalau ada yang berani buat perangai buruk ini di saat orang susah nak dapatkan bekalan beras, kamu jaga, kami akan cari dan saman dan bawa kamu ke mahkamah,” katanya.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian dalam ucapannya pada Ceramah Mega Perpaduan Madani di Dataran Simpang Pelangai sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, di sini malam ini.

Turut hadir Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan calon BN bagi PRK DUN Pelangai Datuk Amizar Abu Adam.

Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata Perdana Menteri bersetuju empat langkah intervensi tambahan dilaksanakan bagi menangani isu bekalan beras dalam negara antaranya melancarkan Task Force Khas Bersepadu Penguatkuasaan Operasi Beras Putih (OP BPT).

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan sentiasa mencuba untuk menyelesaikan isu beras namun pada masa sama mengakui ia memerlukan sedikit masa.

“Kita cuba, tapi apakah boleh selesai 100 peratus? Tidak, beras ini isu, masalah berat, jadi saya kata beri seminggu tengok keadaan dia, kalau tak selesai lagi, kita bincang semula sebelum pembentangan Bajet  2024 pada 13 Okt ini.

Sebab itu kita usaha, untuk beras kita tambah subsidi itu sejumlah hampir RM400 juta untuk beberapa bulan ini sahaja, (isu beras) bukan Semenanjung sahaja termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Ketika berucap pada Karnival Segalanya Felda di Dataran Niaga Felda Chemomoi di sini hari ini, Anwar berkata kerajaan memutuskan untuk menyalurkan subsidi berjumlah hampir RM400 juta bagi premis kerajaan seperti kem tentera, polis dan asrama sekolah menggunakan beras import sebagai langkah meningkatkan beras putih tempatan dalam pasaran. – 3 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related