Majikan boleh mohon pengambilan pekerja asing 3 subsektor mulai 10 Oktober ini: Sivakumar

Menurutnya, inisiatif tersebut dilaksanakan selepas pengambilan pekerja asing bagi tiga subsektor itu dibekukan sejak 2009

5:54 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) membuka semula permohonan pengambilan pekerja asing baharu dan sedia ada bagi subsektor perkhidmatan tukang gunting rambut, pekerja tekstil dan tukang emas.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan selepas pengambilan pekerja asing bagi tiga subsektor itu dibekukan sejak 2009.

Bagaimanapun, katanya, bilangan pekerja asing bagi subsektor itu hanya ditetapkan untuk seramai 7,500 dan tidak ditambah jika kuota tersebut sudah dipenuhi.

“Jumlah 7,500 itu merangkumi 5,000 pekerja asing sedia ada dan 2,500 permohonan baharu. Setakat ini tiada time frame (jangka masa) kita tetapkan bila mereka akan diluluskan kerana ini keadaan baharu. Namun saya sudah bincang dengan pegawai di KSM agar permohonan mereka diuruskan dengan kadar segera.

“Ramai yang anggap ia syarat longgar tetapi tidak, kerana peraturan sedia ada masih dikekalkan. Mereka perlu melalui proses di mana kita hanya menerima pengoperasian premis sedia ada dan perlu mendapat kelulusan awal dari Ketua Pengarah Tenaga Pekerja,” katanya pada sidang media di KSM di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sivakumar berkata, tempoh bayaran levi juga hanya boleh dibuat selama 30 hari dan sebarang rayuan tidak akan dilayan.

Malah katanya, majikan juga perlu berdaftar dengan Persatuan Perdagangan India manakala pekerja asing yang diambil haruslah mempunyai rekod dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Jelas beliau lagi, bagi subsektor tukang emas dan pekerja tekstil, kelayakan pekerja asing dibenarkan adalah sebanyak 15 peratus daripada jumlah tenaga kerja tempatan.

“Sekiranya keluasan lantai sama atau lebih 200 meter persegi dan kurang 999, kelayakan hanya tiga hingga empat peratus dan kalau kurang 199 meter persegi, hanya dua orang pekerja asing sahaja.

“Manakala bagi subsektor tukang gunting rambut pula, seorang pekerja tempatan bersamaan dengan dua pekerja asing dengan kapasiti tiga kerusi. Majikan juga diwajibkan mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf kerajaan,” katanya.

Sivakumar berkata, melalui syarat itu, lebih ramai anak muda akan mengikuti Program Latihan Teknikal dan Vokasional Program Latihan Teknikal dan Vokasional (Tvet) untuk menjadi tukang rambut professional.

“Kita harap lebih ramai akan menceburi bidang ini kerana kita cuba sedaya upaya memberi latihan, namun terdapat keperluan ketika ini untuk kita mengambil pekerja asing bagi tiga subsektor itu,” katanya.

Sementara itu, Sivakumar berkata, tempoh penggajian bagi ketiga-tiga subsektor itu adalah mengikut dasar semasa 10 tahun yang ditambah tiga tahun.

“Bagi pekerja sedia ada yang sudah memenuhi tempoh penggajian 10 tahun tambah tiga tahun perlu dihantar pulang. Katakan jika mereka dah bekerja selama lapan tahun, pekerja asing itu masih ada lagi tempoh lima tahun di Malaysia,” katanya. – 2 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

The ‘powerful’ fallacy of MCMC – Wong Chun Wai

New regulations are needed to police rampant crimes committed on social media platforms used by millions of Malaysians

Related