KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu mengakui situasi bekalan beras putih ketika ini agak ‘kelam-kabut’ tetapi keadaan itu mulai pulih dengan pelaksanaan beberapa langkah jangka pendek.
Menurut beliau, kekurangan bekalan beras putih tempatan (BPT) berpunca daripada pembelian panik dicetuskan sebuah video yang tular, mendakwa bekalan makanan ruji itu akan kehabisan.
Malah katanya, situasi itu juga disebabkan pengguna beras putih import sebelum ini terpaksa beralih kepada BPT susulan kenaikan mendadak harga beras putih import berkuat kuasa 1 September lalu.
“Orang Petaling Jaya, orang Shah Alam dan orang sebelah situ, semuanya makan beras import sebab harga beras tempatan RM26, manakala beras import harganya RM32 dan RM34. Tidak mahal sangat dan mereka kata beras import ini elok.
“Tetapi bila harga beras import naik melambung sampai RM37, RM40, mereka cari beras tempatan. Bila cari beras tempatan pula ada (pihak) main (sebar) dalam video dan sebagainya bahawa bulan depan tak ada beras,” katanya pada ceramah di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Kampung Hayat, Bentong, Pahang malam tadi sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Jelasnya, trend itu menyebabkan orang ramai menyerbu pasar raya mahupun kedai runcit untuk membeli BPT lebih banyak daripada kebiasaannya.
“Di Pokok Sena (Kedah) masa kita nak jual beras di bawah LPP (Lembaga Pertubuhan Peladang), ada seorang makcik, dia beli dua kampit dan dia bawa masuk dalam but kereta.
“Kemudian dia datang balik beli dua kampit lagi. Saya tanya berapa ramai anak mak cik? (Dia kata) anak dua (orang). Sebulan berapa (kampit)? (Dia kata) sekampit tak habis. Kenapa beli empat? Mereka beritahu bulan depan tak ada beras,” katanya.
Susulan itu, Mohamad menasihati orang ramai agar membeli beras mengikut keperluan, bukannya disebabkan spekulasi kekurangan bekalan yang tidak berasas sama sekali.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan pelaksanaan beberapa langkah jangka pendek akan diusahakan bagi mengatasi masalah berkenaan seperti mengalakkan orang ramai membeli beras putih import bagi mengimbangi bekalan BPT di pasaran.
“Esok (hari ini) kita akan bincang dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kalau sudah bersetuju semuanya, agensi kerajaan seperti hospital, kem tentera, polis dan sebagainya, kita minta mereka membeli beras import.
“Selepas itu, bekalan beras tempatan akan dilambak kembali di pasaran. Kalau tak menjadi juga, saya cari jalan yang lain kerana itu (strategi) jangka pendek,” katanya.
Terdahulu, kekurangan bekalan beras putih tempatan menjadi lebih ketara selepas kenaikan harga beras import yang menyebabkan pengguna beralih kepada BPT.
Pada 1 September lalu, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menyelaraskan harga jualan beras putih import seluruh negara daripada RM2,350 setan kepada RM3,200 setan sejajar harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.
Ini menyebabkan harga beras putih import melonjak daripada RM33 kepada RM39 berbanding BPT yang dijual pada harga kawalan, iaitu sekitar RM2.60 sekilogram (kg) atau RM26 sekampit. – 2 Oktober, 2023