Radzi wajar dihalau, digantung dari Parlimen, ‘meskipun Ahli Parlimen miliki imuniti, tidak boleh melampau’

Ungkapan dibuat Radzi di Dewan Rakyat, tidak seharusnya dibuat ahli parlimen kerana dia sepatutnya mendengar penjelasan Anwar, selain memberikan fakta bernas dan berdebat secara profesional, bukan beremosi

8:05 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Meskipun Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan keistimewaan kepada Ahli Parlimen bagi melancarkan persidangan, termasuk hujah mereka di Dewan Rakyat adalah ‘kebal’ daripada prosiding undang-undang serta tidak boleh dicabar di mahkamah, ia bukan tiket untuk bertindak biadap dan mengeluarkan kata-kata melampaui batas ketika berbahas.

Ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan kurang sopan ketika sesi perbahasan juga, boleh dikenakan tindakan tegas, termasuk dihalau keluar dari Dewan Rakyat, bagi mewujudkan suasana tenteram dan mengelakkan pergaduhan ketika ada antara mereka sedang berbahas.

Penganalisis politik, Profesor Madya Jeniri Amir berkata, keputusan Speaker, Tan Sri Johari Abdul mengarahkan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin keluar dari Dewan Rakyat ketika persidangan, baru-baru ini adalah wajar. – Gambar Bernama, 30 September, 2023

Penganalisis politik, Profesor Madya Jeniri Amir berkata, justeru, keputusan Speaker, Tan Sri Johari Abdul mengarahkan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin keluar dari Dewan Rakyat ketika persidangan, baru-baru ini adalah wajar sebagai hukuman atas tindakannya yang didakwa mengganggu perbahasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ‘mengingkari’ arahan supaya beliau duduk.

Malah, beliau berpendapat, sekiranya Radzi digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat, ia adalah kaedah yang wajar dilakukan agar semua ahli parlimen mengutamakan profesionalisme dan adab ketika bersidang.

Katanya, Speaker perlu mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana ahli parlimen yang mengingkari peraturan persidangan Dewan Rakyat, sebagai pengajaran kepada mereka.

“Ungkapan dibuat Radzi Jidin pada sidang dewan baru-baru ini, tidak seharusnya diungkapkan ahli parlimen kerana dia sepatutnya kena dengar dulu penjelasan Perdana Menteri.

“Apa beliau buat tempoh hari hanya mengganggu kelancaran sidang dewan dan hampir 30 minit masa terbuang disebabkan kekecohan itu.

“Walaupun tindakan Speaker nampak seperti keras apabila mengarahkan Radzi keluar, tapi saya rasa itu wajar dilakukan, malah sepatutnya untuk menggantung mana-mana Ahli Parlimen yang tidak akur dengan peraturan sidang dewan agar perkara sama tidak berulang,” katanya kepada Scoop.

Pada 19 September lalu, Dewan Rakyat kecoh apabila Radzi bangkit menempelak kenyataan Anwar dan berulang kali menggesa Johari mengarahkan Ahli Parlimen Tambun itu, menarik balik kenyataan. – Gambar Jabatan Penerangan Malaysias, 30 September, 2023

Jeniri berkata, Ahli Parlimen sepatutnya sentiasa mempamerkan tahap profesionalisme paling tinggi dan nilai baik, tambahan sidang Dewan Rakyat disiarkan secara langsung serta boleh ditonton rakyat dan ditularkan.

“Kekuatan seorang ahli parlimen itu bukan dinilai berdasarkan kelantangan suara, sebaliknya daripada segi hujahan fakta bernas dan kena berdebat secara profesional, bukan dipengaruhi emosi.

“Diharapkan dengan tindakan tegas (terhadap ahli parlimen yang tidak akur peraturan), ia dapat memberi pengajaran kepada mereka supaya tampil lebih beradab ketika sesi persidangan,” katanya.

Bagi penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi, Ahli Parlimen harus beringat bahawa Dewan Rakyat adalah tempat untuk mereka berbahas dan bertukar pandangan, bukan bertindak melampaui batas.

Menurutnya, sebagai individu dan pemimpin, mereka perlu sentiasa menjaga kesopanan serta sentiasa berhati-hati dengan tutur kata.

Beliau turut mempertikaikan tindakan Ahli Parlimen yang ‘terjerit-jerit’ ketika sesi perbahasan bagi menunjukkan rasa tidak puas hati, memandangkan sepatutnya ia boleh dilontarkan secara baik dan profesional.

“Kenapa perlu nak terjerit-jerit dalam Parlimen? Sepatutnya (ahli parlimen) perlu menanggani segala isu dan perdebatan dengan penuh beradab serta tertib,” katanya.

Ditanya wajarkah tindakan keras diambil terhadap Radzi berhubung isu kekecohan dibuat pemimpin itu di Dewan Rakyat, Awang Azman berpendapat, hukuman bersesuaian sememangnya perlu dikenakan, tetapi kaedah atau bentuk pelaksanaannya bergantung kepada Speaker.

“Saya merasakan tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap individu berkenaan, namun bentuk hukuman itu terpulang kepada Speaker sebab dia yang melihat dan menilai keseluruhan situasi kekecohan pada hari tersebut.

“Sama ada nak gantung seminggu, dua minggu atau apa jenis hukuman, semuanya itu terpulang kepada Speaker sendiri,” katanya.

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi. – Gambar Bernama, 1 Oktober, 2023

Pada 19 September lalu, Dewan Rakyat kecoh apabila Radzi bangkit menempelak kenyataan Anwar dan berulang kali menggesa Johari mengarahkan Ahli Parlimen Tambun itu, menarik balik kenyataan kerana didakwa sebagai tuduhan jahat terhadapnya.

Rentetan daripada itu, Radzi dikecam beberapa pihak, termasuk Mesyuarat Majlis Setiausaha-Setiausaha Politik Kerajaan Madani yang meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman menggantung tugas Radzi kerana didakwa biadap apabila mengganggu perbahasan Anwar serta tidak mempedulikan arahan Speaker supaya beliau berhenti mendesak dan duduk. – 1 Oktober, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Evacuation ordered after bomb threat at Tourism Ministry complex in Putrajaya

Police bomb squad, Fire Dept at scene after suspect package delivered to building

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related