MELAKA – Caj transaksi DuitNow QR akan dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol) pada Selasa ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, mesyuarat bakal dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, akan turut disertai wakil Bank Negara Malaysia (BNM) yang menjadi tunjang kawal selia perbankan negara.
“DuitNow QR ini ada 1.874 juta pengguna yang menggunakan platform ini (untuk transaksi tanpa tunai).
“Bayangkan ada hampir 1.9 juta pengguna yang gunakan DuitNow ini, berapa banyak keuntungan kepada bank. Kita (KPDN) takut ada kesan kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Jelajah Jualan Rahmah peringkat Melaka yang turut dihadiri Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin dan Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar di Dataran Sejarah Ayer Keroh di sini, hari ini.
Menurutnya, caj transaksi bagi penggunaan platform itu, dikhuatiri merencatkan program digitalisasi negara sebagaimana dirangka di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Fuziah berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebelum ini mengadakan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI), bagi membantu pengurusan perniagaan pengusaha kecil, terutama dalam memudahkan pengguna dengan mempelbagaikan kaedah pembayaran secara digital.
“Kita khuatir peniaga (kecil dan mikro), dah lah susah mereka nak sertai (program ReDI), peniaga ini nanti akan terkesan pula (dengan caj transaksi) dan akan merencatkan program digitalisasi, seperti dikehendaki kerajaan dalam RMK12 serta pengguna akan menyerap kos tersebut,” katanya.
Selain itu, Fuziah berkata, setakat ini, hanya tiga bank iaitu Public Bank, Maybank dan CIMB, bersetuju untuk tidak mengenakan caj transaksi buat masa sekarang.
Pada masa sama, beliau memaklumkan, orang ramai boleh mendapatkan bekalan beras tempatan menerusi Jualan Agro MADANI, pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), manakala beras import bersubsidi menerusi Jualan Rahmah.
Katanya, orang ramai boleh menyemak senarai pusat jualan itu menerusi laman sesawang KPDN dan FAMA untuk maklumat lanjut. – 30 September, 2023