KUALA LUMPUR – Belanjawan 2024 perlu mencerminkan keutamaan negara dalam memacu sektor digital dan teknologi jalur lebar mudah alih selular generasi kelima (5G), menerusi pelaburan tepat serta strategi bijak bagi mengatasi isu liputan lemah, masalah rangkaian dan caj perkhidmatan.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, ia memandangkan dunia digital kini banyak dipenuhi teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), realiti terimbuh (AR), realiti maya (VR) dan Internet kebendaan (IoT), sekali gus merancakkan dunia siber negara.
Katanya, perkara itu menuntut agar infrastruktur berkaitan 5G dan keselamatan siber diberi keutamaan dalam Belanjawan 2024 bagi memastikan Malaysia berada di barisan hadapan bagi mendepani revolusi digital.
“Namun, infrastruktur sahaja tidak mencukupi. Kita perlu memastikan rakyat Malaysia dilengkapi kemahiran diperlukan untuk memanfaatkan potensi penuh teknologi baharu ini. Ini bermakna melabur dalam program latihan dan pendidikan digital, terutamanya yang berkaitan dengan 5G.
“Penglibatan sektor swasta adalah kunci untuk mempercepat pengembangan teknologi 5G. Melalui kerjasama kerajaan dan swasta, kita boleh menggabungkan sumber daya serta kepakaran untuk memastikan Malaysia berada di garisan depan revolusi 5G,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga harus memberi tumpuan mengenai keselamatan siber, memandangkan peningkatan kesalinghubungan jaringan internet turut menyebabkan ancaman keselamatan yang perlu dipandang serius.
“Kerajaan perlu melabur dalam inisiatif keselamatan siber, mempercepatkan pembentukan Akta Keselamatan Siber, Suruhanjaya Keselamatan Siber dan menaik taraf Unit Jenayah Siber Multimedia Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada Jabatan Jenayah Siber untuk melindungi data dan privasi rakyat daripada penjenayah siber,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Digital Malaysia, Nasru Syazwan Nawai berkata, dengan perkembangan pesat ke arah pendigitalan yang menyaksikan banyak sektor dan industri mula ke arah pendigitalan, isu keselamatan siber perlu diberi perhatian, terutama dari aspek perundangan.
Ujarnya, ia bagi memastikan keterjaminan dalam dunia digital dan pengguna boleh dilindungi daripada isu seperti kebocoran data, serangan perisian tebusan, percubaan pengintipan siber serta penipuan siber.
“Kita mahu bukan saja dari sudut aplikasi tapi juga dasar, akta perundangan, penguatkuasaan sehinggalah ke sistem dapat dipantau atau dikawal sekiranya berlaku contohnya jika ada isu berkaitan scammer ini, kita perlu ada akta jelas sekiranya pelaku ditangkap,” katanya.
Nasru Syazwan berkata, Kerajaan Perpaduan menerusi Belanjawan 2023 memperuntukkan RM10 juta kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) untuk menaik taraf peralatan, selain memulakan kempen kesedaran dan mempromosikan talian hotline 997.
Sementara itu Profesor di Pusat Pengajian Komunikasi dan Media Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media Universiti Teknologi Mara, Profesor Datuk Dr Ismail Sualman berkata, usaha mempercepatkan rangkaian 5G penting diberikan tumpuan kerana ia mampu menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi digital.
Menurutnya, ia lebih-lebih lagi dalam memacu perkembangan pelbagai sektor, termasuk pendidikan, hiburan, kesihatan dan e-dagang.
Pada masa sama beliau berkata, walaupun pelaksanaan 5G memberi cabaran besar, termasuk pelaburan infrastruktur dan kebimbangan mengenai keselamatan serta privasi, ia perlu diatasi dengan membangunkan rangka kerja kawal selia sesuai untuk memastikan penggunaan 5G berjaya memacu produktiviti.
Belanjawan 2024 dijangka dibentang di Parlimen pada 13 Oktober ini. – 30 September, 2023