Pencen ahli parlimen perlu dikaji semula, ‘wajibkan KWAP, elak bayaran tidak munasabah’

Pakar ekonomi menegaskan tidak wajar mereka terima pencen seumur hidup walau berkhidmat satu penggal, malah menyarankan kerajaan contohi polisi di Sweden

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pemberian pencen dan elaun ahli parlimen wajar dikaji semula dalam usaha kerajaan menjimatkan perbelanjaan negara, selain mengelakkan dana ‘tidak munasabah’ disalurkan bagi pembayaran itu.

Menurut Pakar Ekonomi, Profesor Emeritus Barjoyai Bardai, tidak sepatutnya ahli parlimen diberikan pencen seumur hidup walaupun hanya berkhidmat selama satu penggal.

Pakar Ekonomi, Profesor Emeritus Barjoyai Bardai berkata mungkin perkara ini boleh dikaji serta dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibahaskan dan daripada situ, kematangan ahli parlimen atau ahli politik dapat dinilai. – Gambar Bernama, 29 September, 2023

“Saya merasakan adalah wajar untuk mengkaji semula pemberian pencen ahli parlimen serta elaun tidak munasabah seperti elaun ‘entertainment’ (keraian),” katanya kepada Scoop.

Beliau berkata, Malaysia perlu melihat dan merujuk polisi dilaksanakan kepada ahli parlimen di Sweden yang tidak menganggap tugas itu sebagai pekerjaan, sebaliknya tanggungjawab sukarela untuk mewakili rakyat.

“Sebagai contoh, mereka tidak diberikan gaji, sebaliknya hanya menerima elaun sewajarnya demi tujuan untuk bersidang.

“Mungkin perkara ini boleh dikaji serta dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibahaskan dan daripada situ, kita boleh menilai sendiri kematangan ahli parlimen atau ahli politik, sama ada mereka betul-betul ikhlas mahu membantu rakyat atau sebaliknya,” katanya.

Barjoyai berkata, antara kaedah lain boleh diterapkan dalam usaha mengurangkan perbelanjaan negara ialah memberikan pencen berdasarkan tempoh perkhidmatan ahli parlimen, bukan berdasarkan seumur hidup seperti sekarang.

“Jika ahli parlimen itu hanya berkhidmat selama satu penggal iaitu lima tahun, adalah wajar untuk pencennya diberikan berdasarkan tempoh perkhidmatan tersebut.

“Sebagai contoh, 13 peratus daripada gaji dicarum sebulan oleh majikan (kerajaan) berdasarkan tempoh perkhidmatan ahli parlimen itu.

“Pencen mereka pula kemudiannya dibayar berdasarkan kumpulan caruman wang tersebut sepanjang tempoh berkhidmat, jika hanya bertugas selama satu penggal, maka kerajaan perlu membayar pencen cuma berdasarkan jumlah terkumpul itu, bukannya untuk tempoh seumur hidup,” katanya.

Terdahulu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat mencadangkan agar bekas ahli parlimen diberikan satu pencen sahaja sekiranya mahu menjimatkan duit kerajaan.

Katanya, ia kerana ada dalam kalangan mereka, menerima lebih daripada dua pencen walaupun tempoh perkhidmatan sangat singkat jika dibandingkan dengan penjawat awam.

Penganalisis ekonomi, Profesor Madya Ahmed Razman Abdul Latiff. – Gambar Facebook, 29 September, 2023

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Profesor Madya Ahmed Razman Abdul Latiff menyarankan kerajaan, mewajibkan setiap ahli parlimen mencarum dalam Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) seperti mana tertakluk kepada penjawat awam lain.

Jelasnya, kaedah itu dilihat mampu mengurangkan bebanan perbelanjaan negara, seterusnya menjimatkan kewangan kerajaan.

“Ahli parlimen kena mencarum dalam KWAP seperti mana penjawat awam lain sekiranya mereka ingin diberikan pencen.

“Setiap bulan gaji mereka perlu ditolak berdasarkan peratusan caruman sudah ditetapkan dan hasil simpanan ini, kemudiannya akan menjadi pencen mereka di masa akan datang,” katanya. – 29 September, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related