Maqasid syariah perlu diperkukuh demi selesai kemaslahatan rakyat: Al-Sultan Abdullah

Baginda turut menyeru rakyat jelata menerapkan akhlak mulia dalam pertuturan dengan membicarakan kebenaran, bersikap jujur serta menjauhi fitnah, kata dusta dan pembohongan

1:13 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Maqasid syariah perlu dijadikan kerangka asas dalam penyampaian perkhidmatan supaya kemaslahatan rakyat yang menjadi tanggungjawab kerajaan, dapat terus dipelihara. 

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, ajaran Islam yang dibawa Rasulullah SAW mencakupi pelbagai aspek kehidupan dalam mengemudi dan memerintah sebuah negara dengan pelbagai puak dan agama serta spektrum kedudukan sosio ekonomi yang berbeza.

Malah, baginda bertitah, sirah Rasulullah SAW mencerminkan kepakaran baginda dalam mentadbir sebuah negara.

“Dari aspek ekonomi, baginda memberi tumpuan kepada pengurusan sumber dan agihan kekayaan secara cekap, mempelbagaikan sektor ekonomi dan menitikberatkan kepentingan sosial selain merangka program untuk meningkatkan taraf hidup serta sosio ekonomi rakyat.

“Baginda tidak segan silu mendekati golongan terpinggir dalam kalangan mereka yang miskin, lemah dan kurang berada selain berusaha keras membawa golongan ini keluar daripada kesempitan hidup,” titah Seri Paduka pada sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan 1445H/2023 di sini, hari ini.

Turut mencemar duli, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta barisan Jemaah Menteri.

Mengulas lanjut, baginda bertitah, Rasulullah SAW juga tegas dalam memelihara integriti dan akauntabiliti selain amanah yang digalas, tidak langsung dicemari semata-mata untuk memenuhi kepentingan peribadi.

Titahnya, Rasulullah SAW sentiasa berpegang teguh kepada prinsip keadilan, dalam semua bentuk urusan negara dan paling utama dalam memelihara kemaslahatan ummah.

“Lantaran itu, pada pagi yang penuh bermakna ini, beta menyeru supaya kita terus berpegang kepada tuntutan Allah SWT dan ajaran yang dibawa Rasulullah SAW.

“Oleh itu, kita akan dapat membangunkan sebuah negara yang bertamadun dan berjaya, harmoni serta sejahtera, dengan rakyat yang menjiwai sifat Karamatul Insan,” titahnya. 

Dalam pada itu, baginda menyeru rakyat jelata mencontohi akhlak warisan maknawi Nabi Muhammad SAW yang amat bernilai dan istimewa.

Titahnya, keperibadian Rasulullah sebagai insan mulia dan seorang pemimpin amat terserlah selain memiliki sifat tawaduk yang tinggi dan tidak suka dipuja.

“Setiap baris tutur kata baginda disulami dengan penuh kesantunan dan memancarkan keperibadian mulia, serta rasa hormat kepada teman bicara dan tidak pernah menuturkan tipu daya, apatah lagi nista kepada pengikut mahu pun penentangnya.

“Justeru, marilah kita menerapkan akhlak mulia dalam pertuturan dengan membicarakan kebenaran, bersikap jujur serta menjauhi fitnah, kata dusta dan pembohongan. 

“Baginda juga optimis Malaysia akan mencapai puncak kejayaan hakiki apabila syariat Islam dan nilai murni serta ketinggian akhlak yang dibawa Rasulullah SAW menjadi tatanan tadbir urus negara, ” titah baginda. – 28 September, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related