PUTRAJAYA – Sambutan Maulidur Rasul 1445H/2023 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) di sini hari ini, kembali meriah apabila acara perarakan diadakan semula selepas tiga tahun ditiadakan.
Perarakan yang bermula dari Jambatan Seri Gemilang ke PICC, diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar membabitkan seramai 3,700 peserta.
Jumlah itu mewakili 131 kontinjen dari pelbagai kementerian, agensi badan berkanun dan swasta yang menyertai perarakan sejauh 1.1 kilometer (km), bermula jam 8 pagi tadi.
Majlis sambutan yang Bertemakan ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’ turut diserikan dengan persembahan nasyid, dan penyampaian anugerah kepada tokoh serta hadiah kepada pemenang perarakan.
Sambutan kali ini akan menyaksikan seorang penerima anugerah perdana manakala enam lagi diangkat sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul.
Anugerah tersebut diberikan sebagai pengiktirafan kepada individu yang layak dan memberi sumbangan cukup bermakna dalam pembangunan ummah serta negara.
Acara tersebut akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Turut hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta barisan Jemaah Menteri. – 28 September, 2023