Mahkamah tetapkan 11 Oktober keputusan rayuan MAIPs bimbing 3 anak Siew Hong

Hayatul menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah hasil temu bual dengan tiga anak Siew Hong selama sejam, bermula jam 2.26 petang tadi

6:57 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 11 Oktober depan untuk keputusan permohonan rayuan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk mengubah perintah hak penjagaan yang diberikan kepada Loh Siew Hong agar badan agama Islam itu dapat memberikan pendidikan agama kepada tiga anaknya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Hayatul Akmal Abdul Aziz menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah hasil temu bual dengan tiga anak Siew Hong selama sejam, bermula jam 2.26 petang tadi.

Bagaimanapun, Hayatul tidak memperincikan sebarang intipati pertemuan tersebut dan sekadar memaklumkan tarikh baharu untuk membuat keputusan terhadap kes berkenaan.

Dalam permohonan rayuan, peguam MAIPs, Aidil Khalid berkata, terdapat keperluan untuk agensi kerajaan terus diberi kebenaran untuk membimbing tiga anak Siew Hong, yang merupakan pasangan kembar perempuan berusia 15 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun.

“Anak-anak ini sudah tinggal lama bersama ibu mereka. Kepentingan untuk kanak-kanak itu diberi petunjuk ibunya bukan seorang Muslim manakala ayahnya seorang Islam, namun tidak mempunyai akses memberi ilmu agama kepada mereka.

“Kita tidak boleh membiarkan mereka tergantung kerana mereka baharu mengenali Islam. Sehubungan itu, mahkamah diharapkan memberi hak kepada kanak-kanak tersebut agar mereka boleh menjadi seorang muslim yang lebih baik,” katanya.

Terdahulu, Hayatul bertindak menemubual ketiga-tiga kanak-kanak itu selepas Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili MAIPs membangkitkan bahawa mereka lebih selesa menetap dengan ibunya.

Pada prosiding di sebelah pagi, Haniff juga mendakwa Siew Hong dilihat cuba melakukan perbuatan yang boleh memesongkan akidah tiga anaknya apabila masih mengamalkan budaya agama Hindu, dengan membawa mereka ke kuil di Batu Caves.

Tegasnya, MAIPs mengambil pendekatan itu kerana wanita tersebut tidak mampu untuk mengajar asas pendidikan agama Islam kepada tiga anaknya kerana dia mengamalkan ajaran agama Hindu dan Buddha.

Dua hari lalu, Siew Hong memfailkan notis untuk tidak meneruskan permohonan bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan MAIPs mencelah dalam prosiding pembubaran perkahwinannya.

Siew Hong memfailkan permohonan itu pada Mac lepas bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Februari yang membenarkan MAIPs menjadi responden kedua dalam petisyen perceraian dengan bekas suaminya, Muhammad Nagahswaran Muniandy, membabitkan hak penjagaan tiga anak mereka yang diperoleh beliau.

Siew Hong turut memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar penukaran agama ketiga-tiga anaknya kepada Islam yang didakwa dilakukan oleh bekas suami tanpa persetujuannya.

Bagaimanapun, dia gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi dan kemudian membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan. – 27 September, 2023

Topics

Hangat

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Buddhist leader urges calm, constructive actions following offensive football fan posts

He acknowledges that posts were unkind, unprofessional, but no plans to lodge additional police reports

Related