KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengakui pernah dilamar untuk bertanding jawatan naib presiden PAS pada pemilihan sempena Muktamar Tahunan ke-69 yang dijangka berlangsung bulan depan.
Beliau yang juga Menteri Besar Kedah bagaimanapun menolak tawaran tersebut kerana merasakan dirinya masih belum layak untuk menduduki antara kerusi tertinggi pimpinan parti berkenaan.
“Saya tahu diri saya tera (setara) mana. Dalam PAS kualiti untuk pimpin parti dan sektor lain berbeza cirinya.
“Jadi calon menang boleh tapi nak pimpin PAS kena ada ciri lain, sebab itu di Kedah saya boleh jadi Menteri Besar tapi Pesuruhjaya orang lain sebab kualiti dan ciri berlainan,” katanya pada sidang media di Alor Setar, Kedah.
Selain itu, Muhammad Sanusi meramalkan tidak ada individu atau ahli PAS yang akan mencabar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu yang kini disandang Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Katanya, meskipun tiada halangan, namun tiada yang mahu bertanding.
“Tak boleh paksa orang bertanding dan saya jangka tahun ini pun tak ada pertandingan (Presiden dan Timbalan Presiden),” katanya.
Hadi dan timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man, mempertahankan jawatan masing-masing selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti bagi sesi 2021-2023 pada Muktamar Tahunan Ke-67 di Terengganu, November dua tahun lepas. – 27 September,2023