KUALA LUMPUR – PAS disarankan tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi Parlimen Kemaman, sebaliknya menunggu sahaja Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.
Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, PRK di Kemaman perlu diadakan bagi memastikan kebajikan rakyat tidak terabai disebabkan ketiadaan Ahli Parlimen di kawasan terbabit.
Beliau turut yakin PAS mampu memperoleh kemenangan besar sekiranya PRK dilaksanakan di Parlimen Kemaman.
“Mahkamah telah membuat keputusan dan kita ada hak untuk merayu atau menyemak semula keputusan itu, namun saya rasa kita buat seperti di Parlimen Kuala Terengganu. Kita terima kekalahan dan apabila PRK dilakukan, kita masuk bertanding. Bagi saya itu adalah lebih baik.
“Tak perlu nak merayu lagi, lebih baik kita terima kerana pelbagai isu sekarang dan rakyat faham seperti isu beras yang melanda negara ketika ini. Oleh itu, saya berpandangan kita mampu memperoleh kemenangan semula di Parlimen Kemaman,” katanya ketika dihubungi Scoop, hari ini.
Beliau mengulas keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu hari ini yang membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis berkata, pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU-15.
Mahkamah turut memerintahkan pihak responden membayar RM30,000 kepada pempetisyen.
Sementara itu, ditanya sama ada keputusan berkenaan akan mempengaruhi sokongan pengundi kepada parti itu kelak, Hashim optimis rakyat akan terus memberi sokongan kepada PAS di Parlimen Kemaman.
“PAS tidak terkesan apapun, rakyat tidak kata PAS salah seperti yang kita boleh lihat di Kuala Terengganu. Umno buat lebih dahsyat daripada itu, tidak pula diambil tindakan. Apapun, kita pasrah dengan keputusan mahkamah.
“Kita perlu berpegang kepada berjihad ke jalan Allah. Parti kalah pun, kita dah laksana bahagian kita, Allah tidak akan mensia-siakan pengorbanan telah dilakukan. Pegang kepada hal itu seperti mana kita telah menang banyak kerusi ketika PRU-15 walaupun sebelum ini kita telah tewas berpuluh kali. Dengan kesabaran itu, akhirnya kejayaan diperoleh,” katanya.
Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya membenarkan petisyen calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zubir Embong di Parlimen Kuala Terengganu yang dimenangi calon PAS, Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Bagaimanapun pada PRK Parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos lalu, Amzad mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti lebih besar 47,266 undi, berbanding 40,907 undi pada PRU-15. – 26 September, 2023