Jumlah Harimau Malaya kini kurang 150 ekor

Harimau Malaya sememangnya diancam kepupusan kerana data menunjukkan populasinya berada pada tahap yang sangat membimbangkan.

12:42 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Jumlah harimau Malaya kini dianggarkan kurang daripada 150 ekor justeru pelbagai usaha telah diambil bagi memastikan binatang berkenaan tidak mengalami kepupusan di Malaysia.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Harimau Malaya sememangnya diancam kepupusan kerana data menunjukkan populasinya berada pada tahap yang sangat membimbangkan.

Beliau berkata, berdasarkan dapatan Survei Harimau Pertama yang dilaksanakan mulai 2016 hingga 2020, anggaran populasi Harimau Malaya adalah kurang daripada 150 ekor.

Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Harimau Malaya sememangnya diancam kepupusan kerana data menunjukkan populasinya berada pada tahap yang sangat membimbangkan. – Gambar Jabatan Penerangan, 26 September, 2023

“Pada 16 Jun 2021 kita setuju dengan pelaksanaan sembilan tindakan langkah strategik bagi konservasi Harimau Malaya bagi tempoh 10 tahun antara 2021 hingga 2030, merangkumi tiga pendekatan iaitu pertama mengukuhkan usaha hentikan populasi Harimau Malaya melalui rondaan penguatkuasaan dan pengawalan yang turut melibatkan Orang Asli selain pemeliharaan dan pemuliharaan habitat harimau.

“Kedua, (kerajaan) meningkatkan tadbir urus dan keberkesanan dalam menguruskan konservasi Harimau Malaya melalui penubuhan petugas pasukan kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Penubuhan biro jenayah hidupan liar di bawah polis dan pengukuhan makmal forensik hidupan liar kebangsaan (yang ketika ini) dianggap antara makmal terbaik di dunia dan digunakan sebagai pusat penyelidikan dari seluruh dunia.

“Ketiga memperkasa inisiatif bagi melangsungkan kehidupan harimau melalui penyediaan instrumen kewangan inovatif dan skim akratibilasi habitat Harimau Malaya,” katanya ketika menggulung usul kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di persidangan Dewan Negara, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas persoalan yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Awang Sariyan berkenaan isu rizab tanah Melayu, Nik Nazmi memaklumkan bahawa negara ketika ini merekodkan trend peningkatan apabila menunjukkan peningkatan sebanyak 0.77 peratus, sehingga April lalu.

Jelasnya, keluasan tanah rizab Melayu ketika ini adalah 5.18 juta hektar berbanding 4.96 hektar pada 2022.

“Dalam hubungan ini, dimaklumkan data terawal keluasan tanah rizab Melayu adalah 2.42 juta hektar, itu menunjukkan peningkatan lebih 100 peratus berbanding data awal kita pada 1948.

“Keluasan tanah simpanan Melayu telah dilindungi dalam perkara 89 Perlembagaan Persekutuan, di mana apabila berlaku pembatalan kawasan tanah simpanan Melayu, pihak berkuasa negeri harus mengganti kawasan tersebut dengan tanah lain. Kerajaan Persekutuan hanya memantau data keseluruhan tanah itu yang diwartakan oleh pihak berkuasa negeri dan dimaklumkan kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi menegaskan Kerajaan Persekutuan setakat ini tidak memiliki sebarang maklumat atau data daripada kerajaan negeri berkenaan tanah Rizab Melayu yang dijual kepada kaum lain namun masih menggunakan nama Melayu, seperti yang didakwa oleh Senator Hussin Ismail.

“Itu soalan khusus, kalau peroleh kita akan kongsikan namun berbalik kepada perlembagaan kita, segala isu tanah termasuk soal tanah rizab melayu berada di bawah kuasa kerajaan negeri.

“Bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, kita ambil peranan untuk memantau jumlah tanah rizab Melayu sekadar atau mengikut maklumat diberikan kerajaan negeri sebagai bentuk pemantauan tentang butiran jualan kepada mereka di atas golongan bukan Melayu yang mendapat akses kepada Rizab Melayu, perkara itu tiada di tangan saya,” katanya. – 26 September, 2023.

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related