CEO baharu DNB diumum selepas perjanjian dimuktamad: Fahmi

Laporan terdahulu menyebut semua syarikat telekomunikasi telah bersetuju untuk menandatangani perjanjian akses untuk menyediakan perkhidmatan 5G

12:06 AM MYT

 

PETALING JAYA – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Digital Nasional Bhd (DNB) yang baharu dijangka diumumkan selepas semua perkara melibatkan perjanjian langganan saham dimuktamadkan, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican dan Ketua Setiausaha Komunikasi dan Digital Datuk Mohamad Fauzi Md Isa yang mempengerusikan bersama mesyuarat pasukan petugas 5G akan meneliti aspek akhir sebelum pemeteraian itu dilaksanakan.

“Saya telah memaklumkan kepada semua CEO pengendali rangkaian mudah alih (MNO) tentang memuktamadkan pemeteraian perjanjian langganan saham dan diharapkan minggu depan jika semuanya berjalan lancar.

“Kami juga akan memaklumkan kepada media bila pemeteraian itu akan dilaksanakan selepas semua MNO yang mengambil bahagian dalam mesyuarat itu telah mengambil ekuiti mereka…mungkin sama ada semasa atau selepas menandatangani (kami akan mengumumkan CEO), mudah-mudahan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Malaysia Digital Expo (MDX 2023), di sini hari ini.

Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata semua syarikat telekomunikasi telah bersetuju untuk menandatangani perjanjian akses untuk menyediakan perkhidmatan 5G tetapi soal pemilikan saham dalam DNB belum diumumkan.

Pada 21 Julai, Fahmi berkata CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia (TM), U Mobile dan YTL Communications akan memuktamadkan perbincangan mengenai pegangan ekuiti dalam DNB tidak lama lagi.

Ini akan terus menyokong pembangunan rangkaian 5G sehingga liputan mencapai 80 peratus kawasan berpenduduk pada akhir tahun ini.

Ketika ditanya mengenai kritikan oleh sekumpulan wartawan veteran mengenai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fahmi berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan MCMC tidak lama lagi untuk memahami apa yang berlaku antara mereka dan bagaimana untuk memperbaiki keadaan.

“Saya perlu mendapatkan sedikit taklimat daripada mereka dahulu, sebelum saya boleh mengulas tetapi saya menghormati pandangan wartawan, sama ada mereka wartawan veteran atau muda dan bagi saya semua wartawan adalah penting dan kebebasan akhbar adalah suatu yang sangat penting kepada kerajaan.

“Pada masa yang sama, fakta yang betul juga sangat penting dan itulah sebabnya kami percaya bahawa mungkin Majlis Media Malaysia akan menjadi jalan yang sangat baik untuk membincangkan dan menyelesaikan beberapa isu… kita berharap pada tahun depan kita boleh membawa rang undang-undang itu ke Parlimen dan meluluskan undang-undang untuk wartawan,” katanya.

Pada 29 Ogos, MCMC dalam satu kenyataan mengulangi bahawa suruhanjaya itu memainkan peranan penting dalam mengawal selia industri komunikasi dan multimedia di Malaysia, berpandukan peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA 1998), yang memberi kepercayaan kepada suruhanjaya itu untuk melaksanakan fungsinya.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab artikel oleh wartawan bertajuk ‘MCMC Harus Berhenti Daripada Bertindak Sebagai Big Brother’ oleh wartawan kanan yang telah disiarkan oleh beberapa media. – 25 September, 2023

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related