KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mendesak Ahli Ipoh Timur, Howard Lee memohon maaf atas tindakan tidak bertanggungjawab mengeluarkan pandangan menyeleweng dan tidak tepat terhadap tafsiran ayat suci Al-Quran.
Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, secara asasnya tidaklah menjadi kesalahan kepada golongan bukan Islam untuk menghayati ayat-ayat Al-Quran mahupun apa jua ajaran agama Islam yang berkaitan.
Bagaimanapun katanya, seseorang itu tidak harus memberikan tafsiran secara longgar dan semberono terhadap ayat Al-Quran.
“Malangnya, Howard bukan sahaja tidak bertanggungjawab terhadap kenyataannya, bahkan sehingga kini beliau masih tidak meminta maaf dan menarik balik kenyataan tersebut.
“Apakah kenyataan sedemikian masih tidak tergolong di bawah kesalahan 3R? Apakah prinsip sebenar PH terhadap isu sebegini sehingga membiarkan perkara teras masih tidak diselesaikan secara tuntas?” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, situasi itu jelas menunjukkan pemimpin DAP begitu menguasai Pakatan Harapan (PH) sehingga kaki dan tangan pihak lain ibarat diikat rapi, meskipun menyentuh secara langsung berkaitan agama Islam.
“DUPP juga tertanya-tanya apakah di sana tidak terdapat dalam kalangan agamawan PH yang bersedia memberikan teguran terhadap Howard Lee?” soalnya.
Pada masa sama, Ahmad turut mempersoalkan adakah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengajar tafsir sejak sekian lama dianggap sebagai “menunggang agama” manakala Howard menafsir ayat Al-Quran sesuka hati pula dianggap sebagai “pejuang agama”.
“DUPP ingin sekali lagi menyatakan ketegasan supaya Howard memohon maaf di atas keceluparan beliau tempoh hari. Tindakan tersebut boleh dianggap melakukan penghinaan terhadap ajaran agama,” katanya.
Awal hari ini, media melaporkan Howard sedia memberi kerjasama dan disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas dakwaan membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran baru-baru ini.
Katanya, beliau akan memberi keterangan lengkap kepada polis yang dijadualkan kira-kira pukul 3 petang esok di Bukit Aman.
Pada Khamis lalu, media melaporkan Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) Perak membuat laporan polis terhadap Howard di Balai Polis Manjoi, di Ipoh.
Presiden Jabat Perak, Amiruddin Mohd Daud dilapor berkata, pihaknya merasakan tindakan Howard sebagai sengaja menghina Islam memandangkan Ahli Parlimen itu bukan Muslim, namun bertindak menafsirkan ayat di dalam al-Quran yang sekali gus turut menyentuh perkara 3R (agama, raja, kaum). – 25 September, 2023