Anak Zulkifli asnaf fisabilillah, layak terima biasiswa: MAIWP

Walaupun beliau bekas menteri dan dianggap segelintir pihak mempunyai kelebihan kewangan berbanding calon lain, Zulkifli menepati syarat lebihan had kifayah

6:24 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengesahkan anak bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri, iaitu Abdul Syakur dikategorikan sebagai Asnaf Fisabilillah dengan lebihan had kifayah.

MAIWP menerusi kenyataan memaklumkan, Zulkifli menepati syarat lebihan itu susulan hanya menerima pencen dan sudah melepaskan segala jawatan beliau, termasuk sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

“Abdul Syakur (pelajar) merupakan alumni dan bekas penuntut di Pondok Modern Al-Abaqirah MAIWP. Berdasarkan dasar dan prosedur operasi standard (SOP) bantuan MAIWP, pelajar ini adalah lepasan institusi pendidikan MAIWP serta layak menerima bantuan biasiswa insentif khas pelajar cemerlang luar negara MAIWP.

“Takrifan Asnaf Fisabilillah yang diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-128 pada 4 Mac 2021, adalah mana-mana golongan atau pihak yang terlibat dalam sesuatu aktiviti untuk menegak, mempertahan dan mendakwahkan agama Islam,” katanya.

Menurut kenyataan MAIWP, Abdul Syakur juga layak menerima bantuan tersebut kerana dia dikategorikan pelajar cemerlang di Institusi MAIWP – Gambar Twitter Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 24 September, 2023

Kenyataan sama menegaskan, Abdul Syakur juga layak menerima bantuan tersebut kerana dia dikategorikan pelajar cemerlang di Institusi MAIWP selepas berjaya memperoleh keputusan 7A+, 1A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Pada asasnya, Asnaf Fisabilillah adalah tidak tertakluk kepada pengiraan had kifayah.

“Justeru, penentuan kelayakan bagi skim bantuan itu adalah berdasarkan lebihan had kifayah yang akan dipertimbangkan melalui Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Panel Pemilihan Skim Biasiswa Baitulmal MAIWP,” katanya.

Dalam pada itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman ketika dihubungi Scoop senada dengan perkara itu apabila menyatakan, umat Islam yang bergelar pelajar sememangnya tergolong sebagai Asnaf Fisabilillah dan layak menerima bantuan biasiswa pendidikan daripada majlis agama Islam.

Asnaf Fisabilillah, katanya, ditakrifkan sebagai perjuangan dalam melakukan aktiviti mahupun usaha yang bertujuan bagi membolehkan Islam ditegakkan.

Menurutnya, pelajar Islam tergolong dalam perkara itu kerana usaha mereka menuntut ilmu mampu meningkatkan kefahaman dan inteklektual berteraskan Islam.

“Di Pahang, kita mengutamakan (bantuan biasiswa kepada pelajar) tidak berkemampuan, namun Asnaf Fisabilillah memang untuk pelajar Islam, kemungkinan MAIWP tidak memikirkan pendapatan keluarga, pelajar tiada tanggungan serta pemberian biasiswa atau bantuan diberi oleh Baitulmal walaupun disalurkan daripada majlis agama.

“Kadang-kadang Baitulmal ini sumbangan datangnya daripada orang ramai, kemungkinan ada wang lebihan boleh diberikan untuk pelajar cemerlang yang dapat mengharumkan nama negara dan Islam. Oleh itu, tidak menjadi kesalahan untuk pelajar Islam kerana mereka adalah Asnaf Fisabilillah. MAIWP perlu mengambil perhatian berkenaan isu tersebut,” katanya.

Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata asnaf fisabilillah ditakrifkan sebagai perjuangan dalam melakukan aktiviti mahupun usaha yang bertujuan bagi membolehkan Islam ditegakkan – Gambar Jabatan Mufti Negeri Pahang, 24 September, 2023

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, pelajar juga tergolong dalam kriteria Asnaf Fisabilillah apabila usaha dilakukan mereka akan meningkatkan imej dan menjaga maruah Islam, mengikut awlawiyat.

“Pahang akan memberi tumpuan dan keutamaan kepada usaha dakwah Islamiah, membantu membiayai mereka yang dipercayai mampu memberi pulangan baik kepada ummah serta membantu individu yang berusaha menyebarkan pengembangan ilmu syiar atau kefahaman Islam, selain menolak kemudharatan kepada ummah.

“Konsep agihan di Pahang juga, pembiayaan atau sumbangan perlulah berdasarkan kepada keperluan dan tidak berlebihan,” katanya.

Terdahulu, Zulkifli berkongsi mengenai kejayaan anak lelakinya itu yang menerima tawaran menyambung pelajaran di Universiti Jordan dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh.

Namun, perkongsian itu dikritik segelintir netizen apabila Abdul Syakur menerima biasiswa MAIWP, susulan dianggap tidak layak memandangkan dia adalah anak kepada bekas menteri dan dirasakan mempunyai kelebihan dari segi kewangan, berbanding calon lain.

Kritikan itu kemudian diulas Zulkifli menerusi Instagram dengan meminta netizen mendapatkan maklumat terperinci dan fakta daripada pihak berkuasa agama terlebih dahulu.

“Memandangkan ini melibatkan wang zakat, saya amat sarankan saudara teliti maksud ‘Asnaf Fisabilillah’ bagi pengurusan zakat di Wilayah-Wilayah Persekutuan. Boleh rujuk juga laporan tahunan agihan zakat. Semuanya siap diaudit dan boleh diakses masyarakat awam.

“Ribuan anak asnaf fakir miskin terima manfaat zakat setiap tahun untuk menyambung pengajian daripada peringkat sekolah sehingga ke universiti. Terima kasih,” katanya.

Dalam pada itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Nor pula berpandangan, tidak wujud sebarang syarat bahawa penerima bantuan zakat bagi kategori asnaf fisabilillah wajib tergolong dalam kalangan individu yang fakir mahupun miskin.

Jelasnya, walaupun fisabilillah bermaksud berperang di jalan Allah, namun ulama memperluaskan maksud itu dengan mencakupi segala usaha dan tindakan bertujuan meninggikan syiar Islam.

“Saya difahamkan bahawa anak Zulkifli adalah seorang pelajar cemerlang yang memperolehi keputusan 8A (7A+ dan 1A) di dalam peperiksaan SPM, manakala beliau juga sudah melepaskan  kesemua jawatan di dalam kerajaan. Maka pemberian bantuan zakat untuk anaknya melanjutkan  pengajian di peringkat pengajian tinggi tidak menyalahi hukum syarak kerana pelajar berkenaan dikira layak sebagai penerima bantuan tersebut,” katanya. – 24 September, 2023

Topics

Hangat

China’s rising 17-year-old badminton star, Zhang Zhijie, dead after collapsing on court

He was participating in the ongoing Asian Junior Badminton Championships in Indonesia

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Poor driver vetting will steer public away from inDrive, says assault victim’s lawyer

Victim has criticised the company’s lack of transparency and slow response, is prepared to take legal action

Related