KUALA LUMPUR — Aura yang dimiliki Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu menarik lebih banyak syarikat gergasi dari Amerika Syarikat (AS) untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan utama di rantau Asia Tenggara.
Pakar ekonomi Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKMM), Profesor Madya Abu Sofian Yaacob berkata, hubungan rapat Anwar bersama beberapa tokoh di negara kuasa besar itu mampu mempengaruhi pelabur dari negara berkenaan mengembangkan perniagaan di Malaysia.
Justeru, katanya, kelebihan itu perlu digunakan dengan sebaiknya oleh kerajaan terutama untuk menarik lebih banyak syarikat berteknologi tinggi seperti pengeluaran pintar, Internet-of-Things (IoT), komunikasi peralatan serta Revolusi Perindustrian 4.0 (Industri 4.0).
“Anwar sememangnya terkenal di Amerika malah sebelum menjadi Perdana Menteri lagi, beliau pernah menjadi (penceramah) jemputan di beberapa universiti di Amerika. Itu boleh mempengaruhi pelabur selain ucapan Perdana Menteri di pentas PBB (kritik kuasa besar) dilihat tidak akan jejaskan hubungan dua hala negara.
“Ia merupakan perbuatan normal kerana kalau diperhatikan, pemimpin lain pun berucap di pentas PBB memang ada sedikit sebanyak menyentuh negara mereka dan negara lain, tiada salah namun jangan sampai membangkang atau mengutuk terlalu ekstrim.
“Ia hanya teguran untuk kebaikan bersama kerana prihatin apa yang berlaku di samping kemungkinan ia adalah rakan niaga kita, itu boleh beri kesan negatif jangka panjang,” katanya ketika dihubungi Scoop.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan UKKM itu turut menyentuh mengenai keperluan menyediakan infrastruktur serta persekitaran kondusif yang lebih baik kepada pelabur asing selain mampu menawarkan bahan mentah kepada mereka bagi menghasilkan produk.
“Pada masa sama, kita mempunyai tenaga kerja mahir yang tinggi, inisiatif cukai dan sediakan segala keperluan agar mereka hanya tinggal membawa pelaburan ke negara kita. Semua kebaikan yang ada pada Malaysia perlu diuar uarkan kepada dunia, khususnya negara kuasa besar.
“Kerajaan Perpaduan khususnya Perdana Menteri perlu mewujudkan persepsi positif kepada pelabur. Kita sentiasa mengalukan delegasi dari luar untuk berunding dengan pegawai kita agar dapat mewujudkan manfaat secara bersama,” katanya.
Khamis lalu, Anwar, telah mengadakan pertemuan dan berinteraksi dengan 15 syarikat terkemuka AS yang tersenarai dalam Fortune 500 termasuk Airbnb, Amazon, Amazon Web Services, Boeing, ConocoPhilips dan Kimberly-Clark di Harvard Club, New York.
Sementara itu, penganalisis ekonomi, politik dan hubungan antarabangsa, Herizal Hazri pula berkata, Kerajaan Persekutuan perlu meneliti semula usaha untuk membawa pakar yang ada di negara ini ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengangkat nama mereka di peringkat antarabangsa.
“Jika dulu mereka mungkin tidak berminat namun kini saya boleh memberi jaminan bahawa ramai yang ingin menyertainya terutama anak muda.
“Sebagai contoh, kita boleh melihat secara faktanya Malaysia memiliki ramai pakar maritim, malah lebih hebat daripada negara jiran namun kita tidak menempatkan mereka di posisi tepat agar boleh membawa strategi ke peringkat antarabangsa. Perkara ini tidak boleh ditangguhkan sebaliknya ia adalah sangat penting,’’ katanya. – 24 September, 2023.