KKD fokus persediaan Malaysia Pengerusi Asean 2025 menerusi platform Amri: Fahmi

Usaha itu antaranya akan dilakukan menerusi agensi di bawah KKD seperti Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Jabatan Penerangan (JaPen)

3:23 PM MYT

 

DA NANG – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan menumpukan usaha sebagai persediaan Malaysia selaku Pengerusi Asean 2025 menerusi platform Persidangan Menteri-menteri Asean Bertanggungjawab Bagi Maklumat (Amri), kata menterinya Fahmi Fadzil.

Beliau berkata usaha itu antaranya akan dilakukan menerusi agensi di bawah KKD seperti Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Jabatan Penerangan (JaPen).

“Mesyuarat Amri seterusnya akan diadakan di Brunei pada 2025 dan pada tahun itu juga, kita akan menjadi tuan rumah kepada Asean (Pengerusi Asean) dan saya lihat ada beberapa perkara yang boleh kita usahakan dalam tempoh dua tahun.

“Contohnya IPPTAR, Bernama dan JaPen boleh mengumpulkan kawan-kawan wartawan dari rantau Asia Tenggara bagi mempromosikan Malaysia selain merapatkan hubungan antara negara dan mengeratkan silaturahim,” katanya kepada Bernama selepas Amri ke-16 berakhir, di sini hari ini.

Mengenai persidangan itu, beliau berkata beberapa perkara menjadi keutamaan negara yang terlibat termasuk rakan dialog Asean iaitu China, Jepun dan Korea Selatan bagi meningkatkan kerjasama menerusi platform Amri.

Fahmi berkata misalnya, China memberi tumpuan kepada Belt and Road News Network (BRNN), iaitu sebuah platform merangkumi 182 media dari 86 negara yang dilancarkan pada April 2019 bagi mempromosi inisiatif Belt and Road yang diterajui China.

Beliau berkata Jepun memberi tumpuan kepada usaha-usaha prasarana manakala Korea Selatan memberi penekanan kepada isu kecerdasan buatan (AI) yang boleh disalahgunakan untuk menghasilkan bahan kandungan berita palsu.

Justeru, menurut Fahmi, Asean Campur Tiga (Asean+3) perlu bekerjasama bagi menghadapi cabaran dan risiko penggunaan meluas AI.

Ditanya mengenai mesyuarat dua hala beliau dengan Vietnam dan Kemboja semalam, Fahmi berkata KKD kini sedang meneliti dokumen untuk memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Vietnam yang telah ditandatangani pada 1996.

Fahmi berkata bagi hubungan Malaysia dan Kemboja, KKD bersedia berkongsi kepakaran teknikal berkaitan perlindungan data peribadi dan keselamatan sivil.

“Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) boleh membantu dari aspek meningkatkan kesedaran dan keselamatan data peribadi manakala CyberSecurity Malaysia (CSM) boleh menyerlah kepakaran mereka sebagai antara agensi teknikal yang terbaik di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Semalam, Fahmi mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Komunikasi dan Maklumat Vietnam Nguyen Manh Hung serta Menteri Komunikasi Kemboja Neth Pheaktra, masing-masing berlangsung kira-kira 40 minit.

Dengan tema ‘Media: Daripada Maklumat kepada Pengetahuan untuk Asean yang Berdaya Tahan dan Responsif’, Amri ke-16 di Furama Resort Da Nang, antara lain memfokuskan kepada usaha menangani salah maklumat dan membanteras berita palsu, bagi membina Komuniti Asean yang lebih berdaya tahan dan responsif.

Delegasi Malaysia turut disertai Ketua Setiausaha KKD Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan (JaPen) Datuk E. Sivabalan, Timbalan Ketua Pengarang Bernama (Perkhidmatan Berita) Nur-ul Afida Kamaludin dan pegawai tinggi daripada KKD dan agensinya. – 23 September, 2023

Topics

 

Hangat

Summoned five times: Nazri Aziz on facing US State Dept on Palestine, global issues

Former envoy shares how he used facts and United Nations’ principles to defend Malaysia’s independence

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

How will M’sia recoup US$248 mil from Riza Aziz after 1MDB suit withdrawal?: Guan Eng

Putrajaya, which entered a deal with Datuk Seri Najib Razak’s stepson as part of a global settlement on 1MDB asset recovery, must explain the public interest matter

Related