Gambar Ramasamy bersama Hamzah hanya perang psikologi PN untuk menangi hati kaum India

Apapun Charles percaya Ramasamy tidak akan semata-mata meninggalkan DAP hanya untuk menyertai PN

1:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sekeping gambar yang dikongsi Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bersama bekas Timbalan Pengerusi DAP, P. Ramasamy disifatkan sebagai cubaan Perikatan Nasional (PN) untuk meraih sokongan masyarakat India.

Menurut bekas Ahli Parlimen Klang dari DAP, Charles Santiago, beliau percaya gambar itu adalah perang psikologi untuk memenangi hati masyarakat India.

Bekas Ahli Parlimen Klang dari DAP, Charles Santiago, percaya ia adalah perang psikologi PN untuk memenangi hati masyarakat India. – Gambar Scoop, 23 September, 2023

“Saya fikir mereka (mantan ahli DAP) bukan begitu bodoh untuk terus menyertai PN, saya tidak tahu apa yang berlaku, kemungkinan dijemput Hamzah untuk bincang atau beri pandangan.

“Difahamkan sekarang PN hendak menubuhkan satu seksyen dalam parti bagi kaum India, Ramasamy dan dua lagi (ada sokongan dari masyarakat India) jadi mungkin diambil kesempatan ini oleh Hamzah untuk bertemu.

“Tapi saya percaya ini adalah perang psikologi (PN) untuk memenangi hati masyarakat India. PN tahu untuk mendapat sokongan kaum Cina susah, tapi mereka tahu ada perpecahan di kalangan orang India, jadi melihat ruang itu mereka (cuba) masuk dan ambil kesempatan ini,” katanya kepada Scoop hari ini.

Bekas Timbalan Pengerusi DAP, P. Ramasamy mencetuskan kontroversi selepas bergambar dengan Datuk Seri Hamzah Zainuddin. – Gambar dari Facebook, 23 September, 2023

Beliau mengulas mengenai Ahli Parlimen Larut yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memuat naik sekeping gambar bersama Ramasamy dan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan Dalam, M Satees serta mantan Adun Perai, David Marshel beserta kapsyen ‘Kawan-kawan lama dari Penang’ bersama emoji secawan kopi.

Mengulas lanjut, Charles berkata, beliau percaya Ramasamy tidak akan semata-mata meninggalkan DAP hanya untuk menyertai PN.

“Sebenarnya saya kenal Ramasamy sudah lama, begitu juga Satees dan Marshel, dalam hati mereka adalah penyokong kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tapi bila bergambar atau minum kopi bersama rakan-rakan termasuk dari blok pembangkang itu perkara biasa, di Parlimen pun kita dapat lihat.

“(Gambar) Ini tidak bawa maksud lebih besar, ia sekadar bergambar dan oleh kerana keadaan politik kita yang ‘goyang-goyang’ jadi bila ada gambar sebegini boleh mencetuskan spekulasi dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Penerangan I PKR, Datuk R Ramanan, pula berpandangan gambar berkenaan tidak perlu dijadikan isu kerana sebagai pemimpin mereka berhak untuk berjumpa sesiapa pun.

“Bagi saya kita jangan cepat melatah dengan gambar itu, ada banyak gambar, kalau di Parlimen pun saya bergambar dengan Arau (Datuk Seri Shahidan Kassim) sahabat baik saya, selalu bergurau dalam dan luar dewan, tapi bukan semestinya saya hendak masuk PAS.

“Mungkin ini cara pembangkang nak tunjukkan mereka ada kepimpinan India dalam pembangkang. Tapi kita tahu itu hanya ‘window dressing’ sahaja, nak tutup isu bahawa mereka betul-betul mengamalkan budaya politik agama,” katanya.

Datuk R. Ramanan berkata tiada sebab untuk menghalang P. Ramasamy jika beliau mahu menyertai PN. – Gambar Scoop, 23 September, 2023

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata,sekiranya benar Ramasamy bukan lagi ahli DAP, kemungkinan beliau ada keinginan dan kehendak untuk menjadi ahli atau menubuhkan satu persahabatan politik dengan pihak pembangkang, itu adalah keputusan politik beliau.

“Kita tidak ada sebab nak halang beliau dari berbuat demikian, kalau benar ada jalinan itu, kita harap isu menggunakan agama dapat dihentikan,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, RSN Rayer berkata beliau tidak mahu membuang masa memberi komen mengenai bekas ahli DAP.

“Saya punya respon (berkait hal sebegini) saya akan beri pada masa tepat ketika sidang Parlimen seterusnya nanti,” katanya.

Ramasamy telah mengumumkan melepaskan semua jawatan dalam DAP dan keluar parti itu, dengan surat bagi tujuan itu sudah diserahkan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Ramasamy dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri II selepas menang di Parlimen Batu Kawan dan DUN Perai pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), pada 2008 dan berkhidmat sebagai wakil rakyat di Perai selama 15 tahun. – 23 September, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Kuala Lumpur location for Marvel superhero film Thunderbolts

Florence Pugh was in Malaysia and shot scenes in Medan Pasar, Merdeka 118

Sarawak gas feud in the works? Petros takes Petronas to court over licence dispute

RM7.95 mil clash puts both companies at legal odds over gas supply contract 

Related