Anwar kongsi hala tuju Malaysia di pentas antarabangsa malam ini, ‘doakan semuanya lancar’

Dalam kemunculannya pada jam 9.45 malam waktu Malaysia itu, Anwar akan menyampaikan beberapa perkara, termasuk pelan hala tuju Malaysia MADANI

5:17 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon doa rakyat Malaysia agar kemunculannya di pentas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-78 di New York, Amerika Syarikat (AS) untuk berkongsi Kenyataan Negara malam ini, berjalan lancar.

Perdana Menteri memaklumkan, beliau akan berkongsi pelan hala tuju negara di bawah rangka kerja Malaysia MADANI pada acara itu yang dijangka disiarkan secara langsung pada jam 9.45 pagi waktu di New York, bersamaan 9.45 malam waktu Malaysia.

Anwar berkata, beliau juga akan berkongsikan usaha Malaysia dalam menangani krisis iklim untuk mencapai Agenda 2030, selain beberapa isu global.

“Insya-Allah, jam 9.30 malam ini waktu Malaysia (9.30 pagi waktu di New York), saya akan menyampaikan Kenyataan Negara di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-78.

“Saya akan berkongsikan usaha Malaysia dalam menangani krisis iklim untuk mencapai Agenda 2030, pelan hala tuju negara di bawah rangka kerja Malaysia MADANI serta beberapa lagi isu global,” katanya.

“Rakyat Malaysia boleh menyaksikan Kenyataan Negara ini secara langsung melalui saluran media tempatan dan Facebook live. Doakan agar semuanya berjalan lancar,” katanya.

Ucapan Anwar itu akan turut disiarkan secara langsung di Bernama TV (saluran Astro 502), laman sesawang www.bernama.com dan media sosial Bernama.

Ia adalah kemunculan pertama Anwar sebagai Perdana Menteri di pentas perhimpunan antarabangsan secara tahunan itu, sejak dilantik ke jawatan terbabit pada 24 November tahun lalu.

Kelmarin, beliau berlepas ke New York ditemani isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk menghadiri Perhimpunan UNGA yang berlangsung Isnin lalu hingga 26 September ini.

Turut mengiringi Perdana Menteri adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, beberapa Ahli Parlimen serta pegawai kanan kerajaan.

Sepanjang di acara itu, Anwar turut mengambil kesempatan bertemu pemimpin negara luar, antaranya bertukar pandangan bersama rakan sejawatnya bagi memperkukuh hubungan negara, termasuk mengadakan mesyuarat dengan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin dan Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia’ Al Sudani.

Beliau juga menghadiri sesi perbincangan dengan sebuah badan pemikir dan penerbit bebas bukan partisan yang mempromosikan pemahaman mengenai hubungan antarabangsa dan dasar luar negara, dikenali Ahli Majlis Hubungan Luar Negeri (CFR).

Malah, lebih membanggakan, beliau dijemput menyampaikan khutbah Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY) hari ini, sekali gus menjadi pemimpin asing pertama menerima penghormatan sedemikian dari masjid pertama di bandar berkenaan yang dibuka pada 25 September 1995, dengan turut menempatkan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beberapa jam lagi, iaitu pada 1 pagi Sabtu (esok) waktu Malaysia, Anwar akan muncul dalam wawancara selama 30 minit dikendalikan Christiane Amanpour dari CNN di saluran berita antarabangsa berkenaan bagi mengulas mengenai tiga topik, Kesederhanaan, Madani dan Sanusi. – 22 September, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Related