KUALA LUMPUR – Negara wajib mempunyai dasar serta program yang berkesan bagi memastikan rakyat terjamin dengan bekalan makanan yang mencukupi dan pada masa sama tidak terlalu bergantung kepada bekalan makanan dari luar.
“Perangkaan menunjukkan pada tahun lepas, jumlah import makanan mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah, bernilai RM63 bilion. Keadaan ini sepatutnya dibimbangkan bukan sahaja oleh pemimpin tetapi setiap rakyat di negara ini.
“Bekalan makanan yang tidak cukup, akan membawa masalah besar kepada negara yang boleh menjejaskan kestabilan malah berkemungkinan mencetuskan krisis yang boleh mengancam keselamatan negara.
“Perubahan iklim yang tidak menentu, pemanasan global, krisis politik antarabangsa, serta ancaman virus baharu, merupakan antara punca yang ketika ini menjejaskan hasil pertanian, ternakan dan perikanan,” demikian teks khutbah bertajuk Mengutamakan Bekalan Makanan: Suatu Ibadah dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) hari ini.

Menurut mimbar, ada negara yang merupakan pengeluar makanan telah mengenakan sekatan untuk memastikan rakyat mereka tidak menghadapi kekurangan bahan makanan selain tidak membenarkan eksport makanan.
“Dasar itu sekali gus menjejaskan bekalan dan perdagangan bahan-bahan makanan di serata dunia serta menyebabkan rakyat di negara kita turut terjejas secara langsung.
“Keadaan ini memerlukan negara untuk meningkatkan usaha bagi memastikan bekalan makanan tidak terputus dengan merintis usaha baharu merangkumi penggunaan kaedah pertanian moden dan teknologi terkini, memperluaskan usaha pengeluaran makanan, mengutamakan penggunaan tanah untuk menghasilkan makanan, pengurusan yang cekap lagi telus serta menyediakan insentif untuk melahirkan petani, penternak serta nelayan muda dan moden,” kata teks khutbah itu.

Sementara mimbar di Selangor bertajuk ‘Rasulullah SAW; Antara Lisan dan Tindakan’ mengajak umat Islam mencontohi keperibadian Rasulullah SAW untuk menampilkan kehidupan sebuah masyarakat dan negara yang dituntut oleh Islam.
Umat Islam diingatkan supaya menghindari segala sikap, perbuatan dan kata-kata yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT.
“Rasulullah SAW mendidik umatnya dengan sikap dan akhlak yang mulia. Apa yang baginda katakan melalui lisannya, adalah apa yang baginda laksanakan.
“Seluruh kandungan al-Quran ada pada diri baginda sebagai amal perbuatan. Tidak ada yang baginda mengatakannya, melainkan bagindalah orang yang melakukannya.
“Allah SWT mengingatkan kaum muslimin agar berhati-hati terhadap kekurangan yang ada pada mereka, iaitu seorang muslim itu boleh menjadi seorang yang mengatakan suatu perkataan, tetapi tidak pula mengerjakannya,” katanya teks khutbah yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini.
Menurut teks khutbah itu, Rasulullah mendidik Khulafa al-Rasidin dan kemudian diturunkan kepada Salafus Solih, sehingga kepada umat Islam seluruhnya pada hari ini yang menjadikan perbuatan dan akhlak baginda sebagai asas dan prinsip dalam kehidupan peribadi, berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

“Justeru marilah kita semua, sempena sambutan Maulidur Rasul 1445H ini, bertekad dan berusaha untuk mencontohi sifat dan sikap peribadi Rasulullah SAW,” katanya.
Sementara itu, teks khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertajuk Semarak Cinta Rasul pula menyeru umat Islam meletakkan kecintaan kepada Nabi SAW melebihi kecintaan kepada dunia dan segala isinya.
“Kita berada dalam bulan kelahiran Rasulullah SAW, pastinya ia peluang untuk kita menggandakan rasa kasih dan cinta kepada baginda Nabi SAW antaranya dengan cara memperbanyakkan berselawat ke atas baginda.
“Kecintaan kepada Rasulullah SAW juga mestilah melebihi kecintaan kita kepada ibu bapa, anak-anak dan manusia selainnya,” kata teks khutbah itu. – 22 September, 2023