KUALA LUMPUR – Polis sekali lagi mengambil keterangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kenyataannya berkaitan orang Melayu akan hilang kuasa ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan perkara berkenaan selepas dihubungi media.
Pegawai Bukit Aman dilihat memasuki pejabat Muhyiddin di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Jalan Sentral, di sini kira-kira jam 10 pagi bagi urusan terbabit.
Terdahulu, media melaporkan rakaman percakapan itu akan dibuat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di bawah Seksyen 4(A) Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Pada 3 September lalu, Presiden Bersatu itu dikatakan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam ceramah kempen DUN Simpang Jeram, Johor.
Ucapannya itu turut dikongsi di Facebook yang mana mengandungi dakwaan Melayu pada hari ini tidak lagi menguasai kerajaan, maknanya orang Melayu sudah hilang kuasa, sedar ataupun tidak, betul ataupun tidak. – 21 September, 2023