KPWKM nafi laporan bayi dirampas hospital, ‘pengendalian kes dilaksana dengan teratur’

Pengesahan mendapati ibu dan bapa kandung bayi itu ditawar mengambil semula hak penjagaan, namun menyerahkan kanak-kanak itu kepada OYLS melalui akuan sumpah berkanun secara suci hati

10:07 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan laporan portal berita mengenai dakwaan bayi Bajau Laut dirampas daripada seorang ibu yang tidak mempunyai kerakyatan, di sebuah hospital di Sabah.

KPWKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, semakan sudah dilakukan terhadap dakwaan dibangkitkan portal berita itu pada 15 September lalu dan ia mendapati, isu terbabit adalah kes lama yang dikendalikan Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Lahad Datu, Sabah pada 2021.

Menurutnya, penempatan kanak-kanak bersama Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) pada awalnya, ialah melalui Perintah Sementara di bawah perenggan 19(2)(b), Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] daripada Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK), sementara proses mengenal pasti ibu atau bapa atau penjaga dijumpai serta tampil untuk mendapatkan hak penjagaan terbabit.

“Selepas mendapat pengesahan daripada Ketua Kampung Bajau Laut, Lahad Datu, Pelindung menawarkan kepada ibu dan bapa kandung untuk mengambil semula hak penjagaan kanak-kanak daripada OYLS.

“Namun, ibu bapa terbabit membuat keputusan menyerahkan kanak-kanak itu kepada OYLS, melalui akuan sumpah berkanun secara suci hati.

“Pelindung juga mendapati ibu kandung tidak berkemampuan untuk memelihara kanak-kanak berkenaan, disebabkan faktor kewangan dan kesihatan kronik serta tidak berupaya membiayai kos perubatannya, malah meninggalkan kanak-kanak pramatang berkenaan selama tiga bulan di Hospital Lahad Datu,” katanya.

Terdahulu, portal berita itu menerbitkan laporan bertajuk ‘Baby snatching: How stateless mums lose their infants in Sabah hospital’ berhubung kes membabitkan Aimah (bukan nama sebenar) yang bayinya dimasukkan ke wad unit rawatan rapi bayi (NICU) selepas dilahirkan, selain diambil daripadanya tanpa kebenaran kerana tiada kerakyatan.

Dalam laporan itu, wanita terbabit mendakwa pihak hospital membuat laporan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selepas dia meninggalkan bayinya di hospital dan menghilangkan diri.

Justeru, JKM mendapati dia tidak mampu menjaga anaknya dan mengambil hak penjagaan bayi itu.

Laporan itu turut mendakwa tiga kes serupa direkodkan, di mana dua ibu mendapat semula hak penjagaan ke atas anak mereka, manakala seorang lagi diancam hilang hak penjagaan membunuh diri bersama bayinya di hospital.

Menegaskan dakwaan dibangkitkan dalam laporan portal itu adalah tidak benar, KPWKM memaklumkan pengendalian kes berkenaan dilaksanakan dengan teratur mengikut prosedur ditetapkan.

“Ia berdasarkan laporan Pelindung, perintah mahkamah, laporan polis, akuan sumpah berkanun, permohonan daftar lewat kelahiran kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan laporan daripada pihak Hospital Lahad Datu,” katanya.

Pada masa sama, KPWKM dalam kenyataan itu memaklumkan, satu sesi persidangan kes bagi memperincikan maklumat dan membuat semakan berhubung prosedur pengendalian kes pemeliharaan dan perlindungan kanak-kanak berdasarkan kepada Akta 611, diadakan semalam, susulan laporan terbabit.

Tegasnya, laporan polis sudah dibuat hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, bagi menafikan dakwaan tidak benar itu.

“Kementerian juga memberi jaminan untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa, apabila siasatan dijalankan.

“KPWKM juga tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya kepada mana-mana pegawai terlibat, sekiranya dakwaan tersebut benar-benar berlaku,” katanya. – 20 September, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Related