KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said diminta memulakan usaha sewajarnya bagi menggantung tugas Ahli Parlimen Putrajaya, Dr Radzi Jidin, susulan tindakan ‘biadap’ pemimpin itu pada sesi Dewan Rakyat semalam.
Pengerusi Majlis Setiausaha-Setiausaha Politik Kerajaan Madani, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, penggantungan itu sebagai pengajaran kepada semua Ahli Parlimen supaya tidak melakukakan tindakan sama.
“Adalah amat menjengkelkan apabila seorang bekas Menteri Kanan gagal menghayati prinsip Rukun Negara, Kesopanan dan Kesusilaan.
“Tindakan biadap Dr Radzi Jidin yang ditunjukkan kepada seluruh negara tidak wajar dibiar begitu sahaja,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, Radzi Jidin mesti dihukum atas kenyataan jahat dibuatnya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 bagi Kementerian Kewangan itu.
Malah, katanya, bekas Menteri Pendidikan itu juga sepatutnya dikenakan tindakan atas keengganan beliau mematuhi arahan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Jelasnya, Majlis Setiausaha-Setiausaha Politik Kerajaan Madani dalam mesyuarat hari ini sebulat suara membidas tindakan biadap Radzi.
“Kita berpendirian bahawa beliau mesti dihukum atas kenyataan jahat dibuat terhadap Perdana Menteri, selain keengganan mematuhi arahan Yang di-Pertua Dewan Rakyat di dalam Parlimen semalam,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, Johari sudah mengikut segala prosedur diperuntukkan di dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat apabila Peraturan Mesyuarat 36(6) dibangkitkan Radzi, berkaitan seorang ahli dewan tidak boleh membuat sangkaan jahat kepada ahli dewan lain.
“Beliau (Johari) sudah meminta Perdana Menteri menjelaskan apa dimaksudkan dengan ‘Pentadbiran Putrajaya’ dan dimaklumkan, ia merujuk kepada pentadbiran kerajaan terdahulu.
“Jelas, Putrajaya (Radzi) sudah tersalah sangka kononnya ‘Putrajaya’ dimaksudkan adalah diri beliau.
“Yang di-Pertua Dewan Rakyat seterusnya membuat keputusan menerima penjelasan Perdana Menteri berdasarkan Peraturan 99, iaitu petua-petua Yang di-Pertua,” katanya.
Shamsul Iskandar berkata, sekiranya Radzi masih tidak berpuas hati, beliau boleh membuat usul.
“Namun arahan Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak dihiraukan beliau yang dikuasai emosi melampau hingga hilang sopan, hancur tatasusila dan mengganggu sesi penggulungan sehingga 20 minit lamanya,” katanya.
Dalam insiden semalam, Johari mengarahkan Radzi keluar dari Dewan selepas beliau membidas dan ‘melawan’ Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, selepas tidak berpuas hati dengan kenyataan dibuat Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu ketika menggulung perbahasan.
Radzi dikenakan arahan itu selepas gagal menuruti permintaan Johari, supaya beliau duduk dan berhenti mempertikaikan keputusan dibuat Dewan Rakyat yang menolak permohonannya supaya Anwar menarik balik kenyataan dibuat terhadapnya.
Malah, Radzi berlawan kata dan ‘terjerit’jerit’ dengan Ahli Parlimen kerajaan walaupun sudah diarahkan duduk.
Ia mengganggu Perdana Menteri yang sedang menjelaskan isu berhubung kes keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) dihadapi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung 47 pertuduhan Yayasan Akalbudi. – 20 September, 2023