Akta Hasutan tidak diguna terhadap pengkritik kerajaan, tetapi melindungi keluarga diraja: Anwar

PM berkata, beliau sudah memberitahu polis supaya tidak menggunakan Akta Hasutan ke atas kenyataan yang mengkritik kerajaan atau dirinya sendiri

10:26 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Tambun-PH) berkata, beliau bukan individu yang menggesa supaya siasatan dijalankan berhubung kenyataan sensitif membabitkan kerabat diraja.

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Anwar berkata, ketika beliau memberitahu polis bahawa tiada keperluan untuk menyiasat berhubung kenyataan membabitkan kerajaan di bawah Akta Hasutan 1948, tetapi terpulang kepada kerabat diraja jika mahu tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang mempersoalkan kedudukan golongan berkenaan.

“Saya sudah jelaskan kepada polis jika kenyataan itu mengkritik kerajaan atau pentadbiran saya sebagai Perdana Menteri, saya tidak mahu Akta Hasutan digunakan (untuk siasatan).

“Tetapi, jika menyentuh raja-raja Melayu, maka tindakan mesti diambil kerana kita perlu berlaku adil kepada golongan itu kerana mereka tidak boleh menjawab (tuduhan) di Parlimen atau melalui media.

“Raja-raja Melayu sudah memaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), polis dan saya sebagai Perdana Menteri bahawa mereka tidak mahu diheret ke dalam wacana politik,” katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas mengenai tindakan seorang ahli Majlis Diraja Selangor membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohd Sanusi Md Nor atas dakwaan menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Anwar menegaskan, beliau tidak campur tangan dalam perkara seperti itu.

“Laporan polis itu bukan saya buat, AGC juga tidak ambil tindakan berdasarkan laporan kerajaan. Laporan majlis diraja adalah atas titah Sultan Selangor.

“Kalau kita dengar cakap pembangkang, seolah-olah mereka mengabaikan fakta ini,” kata Anwar.

Beliau juga merujuk kepada siasatan berterusan terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang (Marang-PN) kerana didakwa mempersoalkan kuasa Lembaga Pengampunan yang mesyuarat negerinya, dipengerusikan Raja atau Yang di-Pertua Negeri negeri.

Yang di-Pertuan Agong mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

“Untuk mempersoalkan kuasa Lembaga Pengampunan adalah sama seperti meragui kedudukan raja-raja Melayu. Saya tiada ruang dan kuasa saya terhad (untuk menyiasat dakwaan sedemikian),” kata Anwar.

Sebelum ini, dilaporkan polis sudah menyerahkan kertas siasatannya kepada AGC berhubung kenyataan Hadi yang mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan.

Dalam ucapan kempen di Johor bulan lalu, Hadi mendakwa mengikut prinsip Islam, pihak yang berhak mendapat pengampunan adalah ahli keluarga mangsa, bukannya Lembaga Pengampunan.

Penjelasan Anwar mengenai perkara itu disampaikan dalam keadaan Dewan separuh kosong kerana Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar sebagai solidariti terhadap Datuk Radzi Jidin (Putrajaya-PN), selepas diarah meninggalkan kerusi kerana mencetuskan kekecohan.

Ahli Parlimen PAS, Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau-PN) sebelum ini, turut menggesa kerajaan menjelaskan undang-undang mana yang menentukan tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan 3R, iaitu kaum, agama dan royalti. – 19 September 2023

Topics

 

Hangat

RM13 bil Penang Mutiara Line LRT to boost connectivity, set for 2031 completion

The 29.5-kilometre line with 21 stations aims to enhance travel across Penang and drive economic growth

DBKL slices up Havoc Food Festival in Setapak as traffic complaints boil over

Nik Nazmi steps in after residents complain of congestion, authorities shut down unlicensed event

No instant KPI: BAM gives Herry IP time to shape Malaysia’s doubles future

BAM allows new men’s doubles head coach Herry Iman Pierngadi time to familiarise himself with the players, culture before expectations are defined

Related