Kerajaan sila henti tekan pembangkang guna undang-undang: Dr Afif

Gesaan itu susulan seramai 25 individu dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung Himpunan Selamatkan Malaysia di ibu negara, kelmarin

3:43 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Dr Afif Bahardin menggesa Kerajaan Perpaduan menghentikan segala pendekatan menerusi perundangan untuk menekan pembangkang, khususnya Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, tindakan terbabit jelas membuktikan ia bertentangan dengan janji reformasi dilaungkan parti gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN), sebelum ini.

Afif menegaskan, tidak seharusnya ada pihak dipanggil memberi keterangan berkenaan Himpunan Selamatkan Malaysia disebabkan ia berjalan secara aman, berdasarkan Akta Himpunan Aman 2012.

“Ini perkara malang apabila berlaku semula di saat seorang Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dikatakan sebagai reformis, namun masih menggunakan akta tidak sepatutnya terhadap parti politik pembangkang.

“Sebab itu, reformasi bukan milik individu, namun idea dan harus terus ada dalam setiap jiwa anak muda.

“Saya yakin jika tidak ditegur, mereka yang berada dalam kekuasaan akan menyalah guna kuasa tanpa pedulikan asas pembentukan negara yang dijamin Perlembagaan,” katanya selepas dirakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, hari ini.

Afif memaklumkan, Kerajaan Perpaduan seharusnya memberi tumpuan dalam membangunkan ekonomi negara, khususnya menangani kos sara hidup dan bukan bertindak aktif dalam menyekat suara pembangkang.

Bagaimanapun, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak polis kerana siasatan dijalankan terhadapnya berkaitan himpunan terbabit, berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Kita walau mulakan himpunan itu bersabit dengan pembebasan Zahid, namun apabila melihat laporan media, kenaikan harga barang melampau dilihat menjejaskan pelbagai pihak sehingga ada rakyat terpaksa mencatu makanan.

“Takkan Malaysia harus sampai ke peringkat itu kerana di bawah kepimpinan Kerajaan Madani, sepatutnya mereka lebih mendengar kerana memahami derita rakyat. Hentikan semua tindakan populis terhadap orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Srikandi Muda Bersatu, Nur Fadzilah Kamaluddin mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang memanggilnya untuk memberi keterangan, susulan keberadaan beliau di himpunan berkenaan, hanya sebagai pemerhati, bukan atas dasar parti politik.

“Saya pelik juga bila ditanya saya dipanggil atas dasar apa, pihak polis memberi jawapan saya dirakam keterangan sebagai saksi. Saya berada di sana sebagai peguam pemerhati, bukan untuk bercakap dan tidak berucap.

“Kalau diikutkan ramai sahaja peguam pemerhati yang datang tetapi kemungkinan pihak berkuasa mengenali saya. Bagaimanapun, saya sudi memberi kerjasama kepada pihak polis untuk membantu siasatan,” katanya.

Semalam, polis mengesahkan seramai 25 individu akan dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung Himpunan Selamatkan Malaysia di ibu negara, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada jumlah itu, seramai 22 individu sudah dihubungi pihaknya.

Katanya, lima individu terbabit akan memberi keterangan hari ini, manakala seorang lagi akan berbuat demikian esok di Ibu IPD Dang Wangi. – 18 September, 2023.

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related