Siasatan polis tiada asas undang-undang, Himpunan ‘Selamatkan Malaysia’ patuhi APA 2012: Tun Faisal

Beliau turut mengulang pendiriannya bahawa himpunan itu akan diadakan semula jika Kerajaan Perpaduan mengambil pendekatan berdiam diri terhadap tiga tuntutan disuarakan kumpulan terbabit, Sabtu lalu

2:44 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi Muafakat Nasional (PN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan siasatan polis hari ini tidak mempunyai asas undang-undang kerana penganjuran Himpunan ‘Selamatkan Malaysia’ mematuhi Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Menurutnya, himpunan pada Sabtu lalu itu turut berlangsung secara aman tanpa wujud sebarang provokasi mahupun protes yang dicetuskan peserta terhadap pihak berkuasa.

“Kita tidak melakukan apa apa kesalahan berdasarkan undang-undang, namun bila polis sudah panggil untuk dirakam keterangan, kita sebagai warganegara Malaysia bersedia sepenuhnya untuk memberi kerjasama kepada pihak berwajib.

“APA 2012 diwujudkan kerana berlakunya kerosakan awam yang teruk dan demonstrasi sehingga menyebabkan pertembungan peserta dan polis. Namun pada 16 September lalu, tidak berlaku pertembungan, adegan baring serta kerosakan harta awam berlaku.

“Perkara itu membuktikan kita mencakupi maksud yang dikehendaki menerusi udang-undang tersebut bahawa, apa yang kita lakukan mengikut APA 2012 kerana kita sedikit pun tak jentik polis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Tun Faisal turut mengulang pendiriannya bahawa himpunan itu akan diadakan semula jika Kerajaan Perpaduan mengambil pendekatan berdiam diri terhadap tiga tuntutan yang disuarakan kumpulan terbabit pada Sabtu lalu.

“Kita ada tiga tuntutan iaitu mendakwa semula Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pemisahan Peguam Negara serta Pendakwa Raya dari badan eksekutif serta memberi keadilan tanpa ada diskriminasi antara rakyat dan pemimpin.

“Paling penting, kita minta dakwa semula Zahid, kalau tidak kita akan buat perkara sama untuk kita turun (berhimpun) sekali lagi minta kerajaan beri perhatian. Rakyat seharusnya bersama bangkit kerana pelepasan beliau tidak sepatutnya berlaku dan menunjukkan undang-undang kita diperlekehkan,” katanya.

Justeru, Tun Faisal berharap pelbagai pihak, khususnya rakyat agar membuka mata terhadap tindakan kerajaan yang didakwa semakin meragukan dan menyimpang dari prinsip perjuangan parti gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) ketika ini.

Semalam, polis mengesahkan seramai 25 individu akan dipanggil bagi memberi keterangan berhubung Himpunan ‘Selamatkan Malaysia’ yang berlangsung di ibu negara pada Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada jumlah itu, seramai 22 individu sudah pun dihubungi pihaknya.

Katanya, lima individu berkenaan akan memberi keterangan hari manakala seorang lagi akan berbuat demikian lusa di IPD Dang Wangi. – 18 September, 2023

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related