KUALA LUMPUR – Pembentukan satu kumpulan negeri (SG4) ditadbir Perikatan Nasional (PN) dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ‘penasihatnya tidak rasminya’ akan menimbulkan masalah dengan dilihat membawa isyarat sentimen anti-Persekutuan.
Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Teknologi & Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Mazlan Ali berkata, pembentukan itu disifatkan sebagai satu konsep menentang dan seolah-olah mengasingkan diri daripada kerajaan Persekutuan.
“Itu tidak bagus. Contohnya nak sambut Hari Kebangsaan baru-baru ini (mereka) ada tema sendiri, itu tidak bolehlah, kerana perkara tersebut akan babitkan integrasi dan hubungan dengan kerajaan Persekutuan.
“Kalau bentuk blok yang nampak macam memusuhi Persekutuan, tak mesra Persekutuan, susahlah kalau esok nak minta bantuan dengan kerajaan Persekutuan,” katanya kepada Scoop.
Baru-baru ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, dipetik sebagai berkata Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis dalam proses membentuk satu kumpulan negeri yang ditadbir oleh PN dengan Dr Mahathir sebagai ‘penasihatnya tidak rasminya.’
Beliau berkata, Menteri Besar empat negeri berkenaan akan mengadakan perbincangan untuk pembentukan kumpulan itu.
Bagi Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Madya Azmi Hassan, beliau berpandangan Dr Mahathir tidak sepatutnya dijadikan penasihat jika gabungan itu benar-benar hendak memajukan negeri SG4 itu.
Beliau berkata, untuk menjadi penasihat dan membawa masuk pelaburan, ia masih memerlukan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan terutama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
“Malah MB (Menteri Besar) SG4 ini berkomunikasi dengan kerajaan tidak baik, begitu juga dengan Tun Mahathir. Seharusnya seorang yang betul-betul neutral diambil untuk menjadi penasihat kepada empat negeri ini kalau hasrat mereka itu benar-benar untuk membangunkan ekonomi negeri.
“Namun ini hanya satu ‘kosmetik’ sahaja untuk menunjukkan PAS kuat. Difahamkan juga mereka mengambil Tun Mahathir tanpa berbincang dengan Bersatu (gabungan PN).
“Jadi sebenarnya isyarat yang cuba ditonjolkan di sini adalah keputusan pentadbiran yang dibuat di empat negeri ini adalah 100 peratus di bawah tangan PAS, walaupun dipanggil sebagai negeri gabungan di bawah PN,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Keselamatan dan Politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, setiap apa yang dilakukan haruslah berkepentingan nasional, memenuhi aspirasi Belanjawan negara dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Ini kerana kita tidak mahu aspirasi kenegerian ini wujud secara drastik hingga mencetuskan satu bentuk pertandingan yang tidak perlu dalam pentadbiran negeri.
“Ia sepatutnya bersifat nasional, berkepentingan negara dan tidak membelakangi tunjang ekonomi yang berasaskan RMK12 dan ekonomi Madani,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pentadbiran negeri, walau apa juga aspirasi ia harus berkepentingan rakyat dan negara, selaras Dasar Keselamatan Negara 2021- 2025 iaitu memastikan Malaysia terus mendapat pengiktirafan antarabangsa.
“Diplomasi luar ini penting supaya Malaysia dilihat sebagai sebuah negara komited dan bersepadu tanpa ada bentuk elemen kenegerian yang ketara, hingga pandangan daripada sudut diplomasi luar melihat ada perpecahan yang boleh menjejaskan imej negara di peringkat global,” katanya.
Pada 2 September lalu, beberapa pemimpin kanan PAS mengadakan pertemuan bersama Dr Mahathir di kediaman bekas Perdana Menteri itu, bagi membincangkan pelbagai topik berhubung strategi percaturan ekonomi sepatutnya diambil parti berkenaan untuk kemajuan negeri diterajui.
Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu, Datuk Khairuddin Abu Hassan yang turut hadir pada pertemuan itu berkata, Dr Mahathir berpandangan negeri-negeri di bawah pentadbiran PAS mempunyai pelbagai potensi untuk dibangunkan setaraf kemajuan negeri di sebelah pantai barat Semenanjung.– 17 September, 2023