KUCHING – Cuaca terik di bandar raya ini tidak menghalang orang ramai berbelanja pada program Jualan Rahmah di Stadium Perpaduan, di sini sempena sambutan Hari Malaysia.
Tinjauan Bernama mendapati, pengunjung mula membanjiri khemah jualan seawal jam 7 pagi bagi menikmati tawaran potongan harga antara 30 hingga 50 peratus untuk barangan keperluan.
Pengunjung, Wan Mohd Syefrizee Wan Mohd Nordin, 38, yang tidak melepaskan peluang membeli barang keperluan untuk keluarganya, berkata, dia hanya berbelanja kira-kira RM70 untuk membeli telur, ayam, sabun basuh baju dan minyak masak peket.
“Memang berbaloi…sebab kalau harga asal, perbelanjaan sebegini mencecah lebih RM150, jadi saya rancang datang pada hari pertama kerana saya jangkakan hari kedua mesti lebih ramai pengunjung,” kata bapa kepada dua orang anak itu.
Berasal dari Melaka, Wan Mohd Syefrizee yang berkhidmat sebagai guru di Institut Kemahiran Mara Kuching berkata, inisiatif sedemikian memberi impak positif, khususnya kepada golongan kurang berkemampuan dan terkesan akibat kenaikan harga barang ketika ini.
Dianjurkan selama dua hari bermula semalam, program jualan itu adalah kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan pasar raya Everrise.
Program pada hari pertama bermula jam 9 pagi hingga 6 petang, manakala hari ini ia diadakan daripada 9 pagi hingga 9.30 malam, dengan tawaran pelbagai barangan keperluan asas seperti ayam, telur, minyak masak, gula dan tepung.
Bagi seorang suri rumah Lami Putit, 53, dia berkunjung ke program jualan itu untuk dua hari berturut-turut bagi mendapatkan barangan yang menjadi ‘rebutan’ bak ‘pisang goreng panas’ antaranya beras, telur dan milo.
Dia juga berharap kerajaan dapat meneruskan program Jualan Rahmah dan memperluaskan usaha itu ke kawasan luar bandar.
“Lebih bagus sekiranya program sebegini dijalankan di kampung yang penduduknya mengalami kekangan dari segi pengangkutan untuk ke bandar bagi menyertai program Jualan Rahmah,” katanya yang memberitahu dia perlu beratur selama dua jam bagi membuat pembayaran.
Sementara itu, Ketua Seksyen Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri KPDN Sarawak, Liew Hui Chang berkata, program berkenaan, menawarkan 18 barangan keperluan asas.
Katanya, sebagai usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat, kementerian itu menyasarkan 2,000 isi keluarga mendapat manfaat menerusi program berkenaan.
“Pada hari kedua peruntukan untuk setiap barangan adalah lebih banyak memandangkan tempoh penjualan lebih panjang.
“Bagaimanapun, maksimum pembelian hanya dua unit (bagi setiap barangan) untuk setiap transaksi pembayaran dibenarkan,” katanya. – 16 September, 2023