KUALA LUMPUR – Semua pihak di negara ini, termasuk rakyat dan pemimpin seharusnya lebih matang dalam mendepani segala bentuk cabaran serta isu, bagi memastikan tiada persengketaan tercetus dan mengelakkan perpecahan masyarakat.
Menurut khutbah Jumaat dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sempena Hari Malaysia 2023, tumpuan seharusnya diberikan kepada pembangunan negara yang lebih progresif dengan memastikan rakyat tidak tercicir sama ada dalam pendidikan, ekonomi, kesihatan, peluang pekerjaan, teknologi atau sebagainya.
Katanya, semua pihak di negara ini perlu menghentikan perbalahan dan persengketaan kerana ia tidak mendatangkan manfaat, malah menjerumuskan Malaysia ke lembah kebinasaan serta kemunduran.
“Kasihankan rakyat yang ada sebahagiannya masih bertarung jiwa dan raga mereka untuk mendapatkan sesuap nasi untuk anak serta isteri.
“Kita juga sudah melihat contoh yang berlaku di negara luar bahawa persengketaan berpanjangan menyebabkan sesebuah negara itu runtuh, selain meragut keamanan dan kedamaian dimiliki.
“Maka, adakah kita juga mahu menjadi seperti itu? Lebih baik dan lebih indah jika kita hidup saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Khutbah itu mengatakan, sebagaimana perintah Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 77, semua individu diseru berbuat baik dan tidak melakukan kerosakan di muka bumi.
“Dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, (kerana) sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan,” katanya.
Justeru, bersempena Hari Malaysia yang diraikan esok, khutbah itu mengajak semua pihak memperbaiki dan membina hubungan baik antara satu sama lain, sama ada pemimpin atau rakyat.
“Peganglah agama sekuat-kuatnya sebagai asas perpaduan dan persaudaraan.
“Semoga kita semua terus hidup aman dan damai serta saling menghormati serta menyayangi antara satu sama lain, dalam membina Malaysia yang diredhai dan diberkati Allah SWT,” katanya.
Menerusi khutbah sama, semua pihak diingatkan bahawa dengan pembentukan Malaysia yang terdiri daripada 14 negeri, ia menambahkan warna-warni dan keindahan negara dengan kepelbagaian adat budaya, bahasa, bangsa serta sebagainya.
“Islam menerima hakikat kemajmukan masyarakat dalam sesebuah negara dan amat menekankan mengenai keamanan serta kedamaian.
“Maka, Islam menyeru umatnya untuk sentiasa mendorong manusia ke arah perpaduan dan menjaga hubungan baik antara sesama manusia,” katanya. – 15 September, 2023