Kerajaan setuju gubal Akta Kebebasan Maklumat, pinda Akta Rahsia Rasmi

Langkah itu diambil bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam dapat dipertingkat dan menggalakkan penglibatan rakyat dalam proses pembentukan dasar negara

10:12 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menggubal Akta Kebebasan Maklumat dengan mewujudkan parameter serta garis panduan jelas bagi memberi akses kepada orang awam untuk mendapatkan maklumat daripada badan awam dan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan beliau, hari ini.

Menurutnya, selaras dengan keputusan tersebut, Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88] juga akan dipinda sewajarnya.

“Langkah itu diambil bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam dapat dipertingkat dan menggalakkan penglibatan rakyat dalam proses pembentukan dasar negara,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan turut memandang serius isu ketirisan hasil negara, terutamanya melibatkan perolehan kerajaan.

Sehubungan itu, katanya, mesyuarat bersetuju untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan bagi memperkasa tata kelola perolehan Kerajaan secara perundangan bertujuan meningkatkan kebertanggungjawaban pihak yang terlibat dalam perolehan kerajaan.

“Mesyuarat juga bersetuju supaya prinsip ketelusan diambil kira dalam RUU Perolehan Kerajaan yang bakal digubal dengan mewujudkan mekanisme aduan dan bantahan selaras dengan piawaian antarabangsa,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, mesyuarat itu juga mengambil maklum mengenai 18 resolusi hasil daripada dua sesi Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan 2022 dan 2023 yang mengemukakan syor penambahbaikan daripada sudut perundangan dan dasar berkaitan tata kelola, integriti serta antirasuah.

Katanya, resolusi itu akan diteliti untuk dijadikan input dalam pembangunan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) yang baharu.

“Bagi memastikan anak syarikat yang ditubuhkan di bawah Badan Berkanun ditadbir dengan lebih profesional berlandaskan prinsip tata kelola baik, aspek pengawasan perlu diberi perhatian,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat bersetuju supaya rangka kerja perundangan sedia ada dan baharu diteliti ke arah pengamalan tata kelola baik dalam kalangan entiti yang mempunyai kepentingan kerajaan.

“Kerajaan akan terus melaksanakan usaha-usaha pemerkasaan tata kelola baik bagi menyokong pembangunan negara selaras hasrat untuk membangunkan Malaysia Madani,” katanya.

Terdahulu, mesyuarat JKKTN yang sebelum ini dikenali sebagai Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) itu membincangkan komitmen negara untuk terus memperkasa tata kelola dalam sistem pentadbiran kerajaan.

Perbincangan tertumpu kepada usaha untuk meningkatkan kemampanan tata kelola, khususnya melalui dua anjakan utama iaitu tata kelola rangka kerja institusi dan perundangan berkaitan rasuah.

Komitmen itu selari dengan iltizam kerajaan untuk memperkukuhkan tata kelola sepertimana yang dibentangkan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) pada 11 September 2023 lalu.

Pada 22 Februari lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berkata, Akta Kebebasan Maklumat yang tertangguh sejak dicadangkan pada 2018, dijangka dapat dibentangkan di Parlimen pada sesi Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat, Oktober depan.

Katanya, ketika ini perbincangan dan pelaksanaan akta berkenaan sudah berada di peringkat akhir dan beberapa isu yang timbul sedang diperhalusi kerajaan. – 14 September, 2023

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

It’s clearly ‘All In’ Hotel, not ‘Allah’: Perlis mufti urges Muslims to look before leaping

The “All In Hotel” signage does not resemble the word “Allah”, said Datuk Mohd Asri Zainul Abidin after a group complained about its name.

Related