Jabatan Imigresen tumpas sindiket penyeludupan warga Pakistan di Kelantan

7:19 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia menumpaskan sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin dari Pakistan yang dibawa masuk ke negara ini melalui negara jiran susulan penahanan lapan lelaki warga Pakistan dalam Ops Gelombang IV di Kelantan, Isnin lepas.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh dalam kenyataan hari ini berkata dalang utama dan transporter sindiket berkenaan adalah antara individu yang ditahan dalam operasi khas oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Jabatan Imigresen dan Jabatan Imigresen Kelantan itu.

Beliau berkata semakan mendapati dalang utama yang berusia 50-an itu merupakan pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang Suami Kepada Warganegara manakala transporter yang berusia 30-an pula memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih sah laku. 

Menurutnya, modus operasi sindiket berkenaan adalah dengan menyeludup pendatang tanpa izin dari Pakistan dengan menaiki pesawat dan mendarat di Thailand sebelum dibawa melalui pengkalan haram melintasi sempadan Malaysia-Thailand. 

“Dalang sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 bagi setiap pendatang yang dibawa masuk ke negara ini dan akan dibawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan seperti Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak Mei tahun lepas dan telah menguruskan penyeludupan individu dari Pakistan yang cuba merebut peluang pekerjaan secara haram serta menyasarkan wanita warga tempatan untuk dijadikan isteri di negara ini.

Semasa operasi, katanya dua pasukan serbuan telah digerakkan ke lokasi berasingan, dengan pasukan pertama mengekori sebuah kenderaan dipercayai digunakan sindiket membawa pendatang tanpa izin yang baru diseludup masuk.

Pasukan itu telah berjaya memintas kenderaan yang dinaiki sindiket berkenaan di Pasir Mas dan menahan tiga lelaki Pakistan termasuk transporter dan individu yang diseludup masuk, katanya. 

Susulan itu, katanya serbuan dilakukan pasukan kedua di sebuah premis kediaman di Pasir Tumboh, Kota Bharu yang disyaki dijadikan tempat transit pendatang berkenaan, dan menahan lima orang lelaki warga itu termasuk dalang utama sindiket berkenaan.

Turut dirampas dalam serbuan itu ialah wang tunai RM2,000, lapan pasport Pakistan yang tidak mempunyai cop masuk Malaysia, sebuah kenderaan pelbagai guna dan sebuah kenderaan sedan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan itu. 

Dalang utama dan transporter berkenaan ditahan dan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 manakala enam yang dipercayai mangsa penyeludupan ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.

Kesemua individu berkenaan ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah. – 14 September, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

The ‘powerful’ fallacy of MCMC – Wong Chun Wai

New regulations are needed to police rampant crimes committed on social media platforms used by millions of Malaysians

Related