KPKM disyor hanya jual beras tempatan kepada warganegara Malaysia

Subsidi untuk makanan ruji itu sepatutnya diberikan kepada rakyat tempatan terlebih dahulu

7:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh mengesyorkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) agar mengehadkan penjualan beras tempatan kepada warganegara Malaysia sahaja.

Menurutnya, langkah tersebut antara satu cara untuk menangani masalah kekurangan bekalan beras tempatan ketika ini.

“Saya berharap polisi ini dapat dipertimbangkan bagi memastikan beras tempatan hanya dijual kepada warganegara Malaysia.

“Sebab kita tahu bahawa beras tempatan ini jadi murah sebab ia disubsidikan oleh kerajaan,” katanya menerusi video yang dimuatnaik di Facebook beliau, hari ini.

Beliau berkata, ketika krisis bekalan beras agak meruncing hari ini, subsidi untuk makanan ruji itu sepatutnya diberikan kepada rakyat tempatan terlebih dahulu.

“Jadi saya mohon Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk pertimbang polisi ini buat sementara waktu.

“Dan kalau tak boleh buat satu Malaysia pun, kalau boleh buatlah di Melaka kerana kita perlu membantu rakyat kita dahulu. Orang luar boleh beli beras import,” katanya.

Terdahulu, Dr Akmal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka memaklumkan satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan oleh kerajaan negeri bagi menangani isu kekurangan beras tempatan di negeri tersebut.

Beliau berkata, satu mesyuarat akan diadakan esok membabitkan dua agensi utama iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka dan Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) negeri.

Malah katanya, pada mesyuarat esok satu garis panduan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan akan diwujudkan.

“Saya tidak menafikan berlakunya kegiatan menyorok beras tempatan di negeri ini, namun tindakan tidak dapat dibuat kerana tidak mempunyai bukti kukuh.

“Kita dapat laporan daripada sebuah pasar raya di Jasin hari ini apabila dimaklumkan mereka tidak mendapat bekalan beras tempatan walaupun kali terakhir memperolehnya pada 5 September lalu.

“Justeru mesyuarat esok dengan agensi terlibat adalah bagi membincangkan data sebenarnya kemasukan sebenar beras tempatan ke Melaka dan dihantar ke mana,” katanya. – 14 September, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related